PINTAR Terengganu Kembali Beroperasi Hari Ini

Posted on Wednesday, July 01, 2020 | 7/01/2020


Ariffin Deraman (tiga dari kiri) meninjau operasi PINTAR yang bermula hari ini.
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Mulai hari ini kerajaan negeri membenarkan sebanyak 38 buah Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) dan satu buah van PINTAR bergerak di seluruh negeri Terengganu beroperasi kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pusat sehenti komuniti itu dibuka kembali setelah ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

"Kesemua PINTAR akan beroperasi kembali mulai hari ini setelah kita menutup PINTAR bagi mengekang penularan COVID-19. Pengoperasian PINTAR ini akan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ariffin Deraman.
"Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Top IT Industries Sdn Bhd selaku badan pengurusan PINTAR akan bekerjasama bagi menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan di PINTAR sekali gus membantu dan memberi manfaat kepada komuniti setempat dalam menuju era digital," katanya pada satu sidang media berkenaan PINTAR di Pusat Latihan Paya Keladi di sini hari ini.

Sehingga kini, tambahnya, proses sanitasi telah dijalankan di kesemua PINTAR bagi menjaga keselamatan dan kebersihan pengunjung.

Pada masa sama, Ariffin turut mengingatkan, rakyat yang ingin berurusan dengan PINTAR haruslah menjaga jarak dan memastikan kesihatan diri berada dalam tahap yang baik.


Hadir sama dalam sidang media tersebut, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Zuwislan Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Top IT Industries Sdn Bhd, Azwa Othman.

Menurutnya, pengunjung yang datang ke PINTAR juga harus menggunakan aplikasi Masuk.la yang dilancarkan pada 18 Jun lalu bagi memudahkan pihak pengurusan merekod kehadiran pengunjung.

Untuk rekod, PINTAR menawarkan kemudahan akses internet yang meluas bagi rakyat negeri Terengganu memperoleh capaian internet dan mampu memanfaatkan peluang yang tersedia dalam dunia tanpa sempadan.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 7/01/2020

0 comments:

Loading...