Projek KT-ByPass Terengganu Diteruskan Semula

Posted on Thursday, July 02, 2020 | 7/02/2020

Amzad ketika meninjau lokasi projek.
Oleh: Ahmad Sabri Yusof

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Kerajaan Pusat menyambung semula Projek ByPass Kuala Terengganu (KT-ByPass) yang terhenti kerana masalah pembayaran pampasan pemilik tanah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim telah melakukan lawatan ke tapak projek KT-ByPass itu bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dan kontraktornya.

Menurutnya, projek KT-ByPass yang tergendala itu kini boleh disambung semula setelah beberapa isu berkaitan dapat diselesaian dengan baik.

“Terima kasih kepada pelbagai pihak terutama kerajaan negeri (Terengganu) yang telah campur tangan dan isu ketidakpuasan hati di kalangan pemilik tanah ini telah diselesaikan.


“Hasil daripada rundingan dan perbincangan semula, jajaran KT-Bypass ini dibuat mengikut perancangan asalnya.

“Keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini membolehkan projek ini diteruskan semula, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak projek KT-ByPass di Jalan Tok Molor, Tok Adis Kuala Ibai, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Projek KT-ByPass terbantut seketika kerana bantahan penduduk dan pemilik tanah yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran pampasannya, ketika dimulakan dahulu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berpendapat, projek KT-Bypass itu suatu yang penting kerana boleh menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di bandar Kuala Terengganu.

“Ia suatu penjimatan yang besar dalam mengatasi kesesakan di jalan raya. Sebab itu, saya minta projek KT-Bypass ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan diselesaikan.

“Dalam masa sama jangan abaikan aspek kualiti. Apatah lagi, Kuala Terengganu ini menjadi tumpuan semua pihak dan kualiti pembinaan hendaklah baik, selamat dan mencapai standard yang ditetapkan,” tegasnya.

Menurutnya, jajaran projek itu melibatkan pembinaan laluan sepanjang 5.875 km, bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Secara keseluruhannya, kata Ahmad Amzad, projek berkenaan menelan belanja sebanyak RM321 juta termasuk RM167 juta merupakan kos kontrak, manakala RM154 juta pula bagi kos pengambilan 293 lot tanah.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 7/02/2020

0 comments:

Loading...