'Mak saya mati, anak saya mati, isteri saya mati dan saya pun mati..'


Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca. 

ASSALAM. Siapa-siapa masih ingat kemalangan misteri ini? Kejadian tak pasti bila di mana sebuah kereta Kia Optima kelabu ditemui oleh orang awam di bawah jambatan Jalan Bentong Lama, batu 18. Kereta itu terjunam jatuh ke bawah jambatan dengan kedalaman 100 meter. 

Misterinya, tiada sebarang tanda-tanda kemalangan yang berlaku di atas jalan raya, penghadang jalan di tepi jambatan pula tidak menunjukkan sebarang kerosakan atau pecah. 

Apabila pasukan penyelamat turun dan memeriksa kenderaan itu, tiada sebarang mayat ditemui di dalam kereta dan sekitar kawasan. Kunci kereta masih ada di dalam kereta. 

Usaha menaikkan kereta itu dilakukan tetapi gagal kerana tersangkut. Lalu jentera lain diarahkan datang ke lokasi, tetapi masih juga gagal menaikkannya. 

Akhirnya, kereta itu terpaksa dibiarkan 'berkubur' di bawah jambatan itu sehingga ke hari ini. 

Cerita mengenai kemalangan jatuh ke dalam gaung secara misteri seperti ini mengingatkan aku kepada kisah seram dan misteri yang melibatkan penyampai radio Thr. Di mana dia mendapat panggilan misteri semasa segemen kisah seram yang sedang berlangsung pada tengah malam 2000-an. 

Disebabkan kejadian itu juga, DJ itu enggan meneruskan lagi siaran kisah-kisah seram di Thr dan ditukar dengan segmen lain. 



VERSI I (MUHAMAD BASIR)

Semasa menerima panggilan misteri itu, pemanggil berkenaan menceritakan secara terperinci tentang apa yang berlaku pada dia dan keluarganya di mana mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga terjunam ke dalam gaung. 

Apa yang pasti, semua mangsa kemalangan itu maut termasuk diri si pemanggil misteri berkenaan. 

Sebelum panggilan ditamatkan, kedengaran suara mengilai. Suasana terus menjadi senyap dan sepi seketika. Mungkin penyampai radio berkenaan mengambil masa untuk bertenang sebelum memutarkan lagu rock bagi menghilangkan rasa seram yang menyelubungi diri. 

Ada cakap-cakap yang mengatakan, penyampai radio itu cuba memainkan semula rakaman panggilan misteri itu pada keesokan hari. Tetapi isi rakaman kosong. 

Tidak beberapa lama selepas kejadian itu, keluar laporan berita yang melaporkan sebuah kenderaan ditemui terjatuh ke dalam gaung dan semua mangsa maut di tempat kejadian. 



VERSI II (SEISMIK)

Ada seorang pemanggil misteri menceritakn pengalaman dia sedang memandu di waktu malam di satu lebuh raya bersama isteri, anak dan kedua orang tuanya. 

Kemudian mereka terlibat dalam satu kemalangan tragik dan kereta yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung. 

Pemanggil memberitahu yang dia sangat sedih kerana kedua orang tua, anak dan isterinya meninggal dunia akibat kemalangan itu sebelum memaklumkan dia juga ternampak dirinya mati di tempat kejadian. 

Bunyi hilaian tawa mengakhiri panggilan misteri itu. Penyampai radio berkenaan cuba menghubungi nombor itu semula tetaepi gagal dan program itu kembali seperti biasa dan dia menyangka panggilan itu mungkin hanya sekadar gurauan. 

Keesokan harinya, terpampang di akhbar berita mengenai kemalangan di kilometer sama seperti yang diceritakan oleh pemanggil misteri malam tadi. Mangsa yang maut dalam kejadian itu adalah dua warga emas, seorang kanak-kanak dan sepasang suami isteri. 

Rakaman program malam tadi cuba dimainkan semula tetapi kosong, hanya audio yang penuh dengan bunyi yang mengerikan. 



VERSI III (MAS)

Lebih kurang begini perbualannya:- 

DJ: Detik 12 Malam. Ya siapa di hujung talian? Mahu kongsi kisah anda? 

Pemanggil: Saya... saya bukan nak bercerita tetapi saya nak minta tolong.

Suaranya mendayu-dayu, terhenti-henti, seolah-olah berada dalam kesakitan serta tersekat-sekat. Taliannya pada masa itu juga agak terganggu. 

DJ: Yea cik, ini siaran radio cik. 

Pemanggil: Tolonglah kami encik. Kami baru terlibat dalam satu kemalangan di Highway Karak. Kereta kami terhumban ke gaung encik. Tolonglah kami.. (menangis). 

DJ: Cik, jangan bergurau cik. Nanti saya hubungi polis. 

Pemanggil: Tolong hubungi polis encik. Hantar pasukan selamatkan kami. 

DJ teruskan perbualan dengan pemanggil misteri sambil menghubungi polis. DJ pada awalnya menyangka panggilan itu hanya sekadar gurauan nakal. Namun rondaan yang dibuat oleh pihak keselamatan mendapati ada kemalangan yang berlaku di lokasi. 

Tidak berapa lama selepas itu, radio melaporkan terdapat sebuah kereta terbabas ke dalam gaung di mana semua penumpangnya mati tetapi tiada gadis di dalam kereta itu. Gadis itu ditemui mati terpacak di tunggul pokok yang panjang di perutnya. 



VERSI IV (MOHD BADRUL)

Pemanggil itu lelaki. Dia beritahu lokasi. Last dia kata semuanya mati.

"Mak saya mati, anak saya mati, isteri saya mati dan saya pun mati.." disusuli dengan bunyi pintu dan angin "krieeekkkkkk!" dan talian terputus. 

DJ itu kata "Jangan buat lawak" dan cuba menghubungi nombor itu semula tetapi nombor tersebut tiada dalam talian. 

Keesokannya, DJ itu buat siasatan dan memang betul ada sebuah kereta kemalangan dan mayatnya ada di dalam kereta. 

Disebabkan kejadian itu, program tersebut terus dibuang dari jadual DJ berkenaan. Kejadian berlaku sekitar tahun 1998, jam 1 pagi. 

Tiada siapa yang tahu kebenaran kisah panggilan misterinya melainkan tuan empunya badan sendiri. 

Sumber: Muhamad Basir, Mohd Badrul, Mas, Seismik



Sumber : thereporter.my