'Saya rasa sangat sedih & kecewa' - Veveonah Mosibin kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri KKMM


Susulan kenyataan tidak tepat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Dewan Negara semalam, Veveonah Mosibin tampil meluahkan rasa kesal dan kecewanya. 

Pelajar tahun asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menegaskan bahawa dia berusaha keras untuk menghadapi peperiksaan secara online yang diambilnya sejak beberapa bulan lalu. 

Namun tidak menyangka video viralnya memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet kembali viral tetapi kali ini dengan tanggapan negatif. 

"Secara jujurnya, saya berasa sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Saya benar-benar berusaha keras untuk menghadapi peperiksaan online sejak beberapa bulan lalu dan tidak menyangka ia akan menjadi viral. 

"Kali ini, perkara yang sama viral lagi tetapi ia mendapatkan kesan yang buruk. 

"Saya tidak tahu bagaimana hendak menerima komen buruk atau negatif di media sosial. Ia amat menyakitkan. 


"Saya maafkan orang yang buat kesilapan pada saya. Tetapi saya masih perlu untuk mengeluarkan kenyataan ini. 

"Terima kasih kepada mereka yang masih membantu dna menyokong saya termasuk keluarga, rakan, pensyarah dan peminat," katanya. 

Semalam, Zahidi mendakwa Veveonah hanya sekadar YouTuber dan tidak menghadapi peperiksaan ketika membuat rakaman video memanjat pokok untuk mencari capaian ternet.

"...YouTuber tersebut tidak ada peperiksaan. Kita dah semak. Dia hanya YouTuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan buat hanya untuk hiburan. 

"...Yang Berhomat jangan mudah tertipu dengan YouTuber untuk membuat isu," katanya. 

Bagaimanapun, Zahidi melalui Facebooknya semalam telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan akan memperbetulkan perkara itu di sidang Dewan Negara Isnin depan. 

Sumber: Sinar Harian

LAPORAN BERKAITAN



Sumber : thereporter.my