(Video) Pemandu parah ditembak, 5 termasuk 3 pelajar cedera dirempuh

Dua lelaki mengalami kecederaan parah akibat ditembak di beberapa bahagian badan dalam kejadian tengah hari tadi di hadapan Sekolah Menengah Telok Datok, Banting. 


Kereta yang dipandu oleh lelaki itu, BMW berwarna biru dengan nombor pendaftaran VIP 105 juga terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Wira. 


Mangsa yang tersepit di dalam kenderaan, ditembak di bahagian dada, tangan dan kaki, itu berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor. 


Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya. 


Difahamkan, kemalangan itu juga menyebabkan lima lagi mangsa cedera termasuk tiga pelajar sekolah. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, mangsa dipercayai ditembak dua individu bermotosikal. Dua mangsa yang cedera adalah pengawal peribadi dan majikannya. 


Difahamkan, mangsa diekori oleh suspek yang kemudian menembak kedua-dua mangsa di dada dan beberapa bahagian badan. 


Mangsa dikejarkan ke Hospital Banting dan sedang menjalani rawatan. 


Sebelum itu, kereta BMW berkenaan turut melanggar beberapa buah kereta dan merempuh beberapa pelajar sekolah. 


Tiga pelajar cedera di leher, kaki dan kini dirawat di hospital. 


Polis sedang mengenalpasti suspek dan motif kejadian yang dipercayai melibatkan pergaduhan di antara kumpulan. 


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS, Harian Metro



Sumber : thereporter.my