T-Team Tekad Pamer Aksi Terbaik Bertemu Felda United


PASUKAN T-Team tekad menampilkan aksi terbaik untuk melakar kemenangan ke atas Felda United pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia walaupun sedar ia bukan tugas yang mudah.

Skuad bimbingan Rachmad Darmawan itu perlu konsisten mencipta kemenangan sekali gus mara ke separuh akhir, biarpun terpaksa beraksi di tempat lawan Sabtu ini.

Rachmad percaya anak buahnya mampu melakar kemenangan jika mereka dapat mengekalkan corak permainan sepertimana ditampilkan pada suku akhir pertama sebelum ini, serta dalam saingan Liga Super berdepan pasukan lawan itu, Sabtu lepas.

Beliau berkata corak permainan yang konsisten daripada pemain amat ditagih sepanjang perlawanan itu, malah mereka juga perlu menyekat jentera serangan pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

"Kita bukan sahaja perlu melakar kemenangan dengan kelebihan jaringan tetapi matlamat utama kita adalah untuk menyekat skuad kendalian Ifran Bakti Abu Salim itu daripada melakukan jaringan.

"Kita akui ia bukan mudah, namun kita akan lakukan yang terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya," kata beliau kepada pemberita di sini.

Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 28 Ogos lepas, kedua-dua pasukan terikat 1-1.    

Dalam pada itu, Rachmad berharap kemenangan 3-2 ke atas Felda United dalam saingan Liga Super, Sabtu lepas, akan membakar semangat pemain untuk terus mencipta kemenangan terhadap pasukan lawan itu dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia nanti. - BNM


T-Team lonjak tangga lima liga

PASUKAN berstatus kelab, T-Team berjaya memanfaatkan kelebihan berakasi di gelanggang sendiri apabila meraih kemenangan 3-2  ketika turun melayan kunjungan Felda United dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kemenangan itu juga turut melonjakkan skuad The Titans di tangga ke lima liga dengan mengutip 26 mata selepas mengharungi 20 perlawanan sekaligus mengukuhkan kedudukan carta liga.

T-Team yang dilihat mendominasi perlawanan hampir membuka jaringan awal pada minit kelima menerusi hantaran kemas Patrick Dos Santos, namun gagal disempurnakan dengan kemas Mohd Asrul Ibrahim.

Percubaan awal itu jelas menyuntik semangat kem tuan rumah dalam memburu jaringan dan kem T-Team terus  mencemaskan gawang pelawat menerusi dua percubaan merbahaya daripada Dilshod Sharofetdinov (minit 8) dan Patrick Dos Santos (minit 11),  tetapi gagal menemui pintu gol.

Pelawat yang sesekali mengatur serangan turut berpeluang membuka jaringan pada minit ke-13 hasil sepakan percuma Gilberto Alemao, bagaimanapun penjaga gawang T-Team, Ilham Amirullah Razali bertindak cemerlang menafikan hajat kem Felda United.

T-Team yang terus bekerja keras dalam menamatkan penantian gol akhirnya tertunai pada minit ke-28 hasil rembatan kemas dari luar kotak penalti Dilshod Sharofetdinov untuk membawa tuan rumah di depan.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua pasukan terus berbalas serangan dan skuad kendalian Rahmad Darmawan nyaris mengukuhkan kedudukkan apabila Nor Hakim Hassan bijak memperdayakan benteng pertahanan pelawat pada minit ke-34, bagaimanapun hantarannya gagal disempurnakan dengan kemas Patrick Dos Santos.

Begitupun sebelum tamat babak pertama perlawanan kem pelawat turut mencipta dua peluang menarik menerusi sepakan percuma, menerusi Francis Forkey Doe  (minit 36) dan Muhammad Shukor Adan namun gagal menemui penyudah yang berkesan sehingga membawa permainan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua menyaksikan kem tuan rumah memperkemaskan rentak permainan dengan terus membuat dua percubaan ke gawang gol pelawat menerusi rembatan Patrick Dos Santos (minit 46) dan Nor Hakim Hassan (minit 47) tetapi mudah diselamatkan penjaga gol Felda United, Mohd Farizal Harun.

Sebaliknya kem pelawat yang melakukan serangan balas berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Mohd Hadin Azman pada minit ke-50.

Empat minit berselang, kem tuan rumah nyaris kembali di depan selepas Nor Hakim Hassan berjaya melepasi perangkap ‘offside’ yang dilakukan benteng pertahanan pelawat tetapi pemain sayap kanan itu lambat merembat masuk peluang yang terbuka luas ketika itu.

T-Team yang enggan mengalah terus mengasak benteng pertahanan pelawat dan Makan Kanote berjaya menceriakan kem tuan rumah apabila kembali membawa skuad The Titans di depan selepas bijak menyambar hantaran Patrick Dos Santos pada minit ke-67.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila Abdul Shukor Jusoh menjaringkan gol penyamaan tidak minit selepas itu.

Tindakan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal melakukan kekasaran terhadap Makan Konate akhirnya mengundang padah apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74 dan disudahkan dengan cemerlang Dilshod Sharofetdinov untuk gol ketiga tuan rumah.

Pelawat yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan di penghujung perlawanan akhirnya terpaksa akur dengan kebangkitan kem tuan rumah yang terus menggenggam tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri. - SH