THT Yakin Tempah Tiket Final Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB)


Jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Sarjit Singh, menghormati Maybank sebagai lawan separuh akhir Piala TNB 2016, walaupun memiliki rekod cemerlang menumbangkan The Tigers dalam saingan kalah mati sejak dua musim lalu.

THT menjadi pilihan Piala TNB selepas dinobatkan juara Liga Hoki Malaysia (LHM) buat kali ketiga berturut-turut.

Tambah menarik, mereka diundi menentang Maybank di separuh akhir, lawan sama yang ditumbangkan ketika bergelar Piala TNB, sejak dua musim lalu.

Begitupun, Sarjit tetap menghormati The Tigers kerana tahap saingan musim ini jauh lebih sukar.

"Kami mengharungi tempoh sukar tahun ini kerana dalam empat perlawanan awal, kami hanya memungut empat mata.

"Pada satu tahap, kami tidak dapat pastikan sama ada kami layak ke Piala TNB atau tidak.

"Moral pemain sangat tinggi. Permainan terbaik kami adalah ketika menentang Sapura di Terengganu.

"Jika mereka berikan persembahan seperti itu, saya tidak nampak alasan mengapa kami tidak boleh ke final," tekad Sarjit.

Musim ini, THT menang kedua-dua aksi liga ke atas Maybank.

"Sedar dengan kekuatan yang dimiliki THT sepanjang kempen ini, kami akan cuba mengatasi kelemahan-kelemahan kami.

"Kami akan cuba memberi aksi terbaik dalam perlawanan separuh akhir pada Khamis dan Jumaat," ujar pengurus Maybank, Premkumar Ram.

Tiga pasukan sudah menjulang trofi musim ini, iaitu THT menjulang Piala Liga, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) memenangi Piala Sumbangsih, sementara Sapura dengan Piala Tan Sri P Alagendra.

Juara Piala TNB akan membuktikan mereka pasukan paling berjaya untuk musim 2016.

Aksi separuh akhir pertama Piala TNB akan berlangsung pada Rabu ini. - SA