Kuala Terengganu: “Bangkitlah rakan sepasukan.” Itu permintaan pemain tengah Terengganu Joseph Kalang Tie apabila pasukannya berkunjung ke Stadium Bandaraya bertemu skuad Pulau Pinang dalam aksi terakhir Liga Super malam esok.
Joseph, 28, pemain kelahiran Miri Sarawak itu yang kembali membarisi skuad Penyu itu musim ini turut mengharapkan rakan sepasukan lebih fokus untuk aksi terakhir itu biarpun ada dalam kalangan pemain mungkin bakal meninggalkan skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu musim depan.
“Pertemuan itu penting bagi mengutip tiga mata kerana ini peluang terakhir untuk mengelak tergelincir ke Liga Perdana musim depan.
“Justeru apa yang saya harapkan rakan sepasukan melupakan seketika tawaran atau hasrat untuk meninggalkan skuad Terengganu sebaliknya perlu memperagakan aksi terbaik bagi memastikan dapat mengutip mata penuh dalam aksi hidup mati itu,” katanya kepada Arena Metro.
Skuad kendalian Mustaffa Kamal Abd Wahab itu kini berada di tangga tercorot liga dengan 19 mata dan mencatat bolos paling banyak dengan 43 gol dan berada dalam keadaan bahaya serta wajib menang.
Sekiranya situasi itu berlaku skuad yang dibarisi ramai pemain bintang termasuk Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Ashari Samsuddin dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli itu boleh melupakan untuk beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.- HM