Mohd Hafiz Dikehendaki Polis


Kuala Terengganu: Polis minta orang ramai yang mengetahui lokasi Mohd Hafiz Mohamad, 29, dari Kampung Baloh, Manir di Kuala Terengganu supaya dapat menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan berkaitan kejadian bunuh di kawasan parkir Kompleks Seri Iman, pagi tadi.

Lelaki itu mati dibunuh dengan enam kesan tikaman di kawasan letak kenderaan di Kompleks Seri Iman, di sini, 11.30 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Shukri Husin, 34, dari Kelantan diserang suspek berusia 29 tahun yang juga bakal adik iparnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suspek dan beberapa ahli keluarga yang lain datang ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk mengesahkan status perkahwinan suspek yang dikatakan akan berkahwin dengan adik mangsa dan mendakwa sudah bercerai.

"Pemeriksaan mendapati dia masih mempunya isteri dan ketika kedua-dua keluarga sedang berurusan, mangsa dan suspek keluar ke kawasan letak kenderaan.

"Ketika mereka berada di situ, suspek menyerang mangsa dipercayai menggunakan pisau sebelum melarikan diri menaiki Honda Civic berwarna merah dipandu seorang lelaki.

"Pemeriksaan mendapati terdapat enam kesan kecederaan termasuk di leher dan dada sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat," katanya.

Wan Abd Aziz berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - HM