Piala Presiden T-Team Enggan Mendabik Dada


Jurulatih skuad Piala Presiden T-Team, Mohd Nafuzi Zain, tidak mahu anak buahnya berasa selesa dengan bekalan kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam saingan separuh akhir pertama di Ipoh, kelmarin.

“Kami perlu fokus pada aksi kedua di Kuala Terengganu, Rabu depan dan masih berbaki 90 minit perlawanan, jadi para pemain harus mengekalkan momentum terbaik.

“Saya harap mereka melupakan kemenangan diraih ini, sebaliknya terus bersiap sedia dengan cabaran yang bakal diberikan Perak untuk kami melakar sejarah tersendiri mara ke final musim ini."

Tambah Nafuzi, pasukan lawan pasti ada persiapan rapi memandangkan mereka juga mempunyai hasrat sama.

"Pemain saya harus memanfaatkan kelebihan jaringan serta beraksi di hadapan penyokong sendiri.”

Tiga gol melalui ketua pasukan, Muhammad Aqil Irfanuddin, Mohd Zarulizwan Mazlan dan Muhammad Naqib Najwan memberikan kelebihan kepada T-Team menjelang aksi kedua, minggu depan.

“Bukan mudah untuk meraih kemenangan di tempat lawan dan saya berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan.

“Walaupun beraksi tanpa dua tonggak utama, kami menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mencapai keputusan ini,” katanya - SA