Terengganu Turtles Kekal Teraju STL 2016


Serdang – Hanya sehari Terengganu Turtles memberikan Penang Panthers menikmati  suasana sebagai pendahulu Liga Sepak Takraw (STL) 2016 sebelum mereka merampasnya semula dengan menjinakkan Melaka Titans 22-20, 17-21, 21-17 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, semalam.

Regu Izurin Refin (tekong), Fadzli Roslan (perejam) dan Azwan Muhrim (pengumpan) memerlukan sejam 40 minit untuk memastikan dua lagi mata liga mereka setelah Penang Panthers mengutip empat mata kelmarin dengan membenam Kuala Lumpur Thunder dan Kedah Eagles.

Turtles dan Panthers terikat enam mata dan jurang set dimenangi dan set kalah selepas tiga perlawanan tanpa kalah namun perbezaan kiraan mata menang dan kalah menyebelahi pasukan Pantai Timur yang dibimbing jurulatih dari Thailand, Vitthaya Boontha itu, 35 berbanding 15.

Sementara itu, Kuala Lumpur Thunder mengecapi kemenangan sulungnya degan menumpaskan Kelantan Warriors 21-13, 21-19 dalam tempoh 50 minit. Kuala Lumpur Thunder menurunkan Ahmad Aizat Nor Azmi, Hafiz Rahman dan Amirul Zazwan Amir manakala Kelantan membariskan tekong Khairul Hisham Yusoff, Naim Izani Noor dan Aidil Aiman Azwawi.

Titans yang dikejutkan Johor Tigris, Jumaat lalu, menampilkan Khobil Sapair, Azwan Yahya (Amirul Asyraf Idris) dan Lutfi Asiman, enggan kecundang sebelum berentap habis-habisan setelah keluar dari kedudukan terikat 7-7, 9-9, 12-12 dan 14-14 untuk mendahului 17-14 sebelum lawan menyamakan kedudukan 20-20 dan menang penentuan dius.

Set kedua menyaksikan Melaka pula di depan, 6-4, 8-5, 12-10 namun diikat Terengganu 12-12, 14-14 dan 17-17 sehingga Khobil terpaksa meminta rehat seketika bagi menerima rawatan kecederaan kaki kanannya manakala set ketiga lebih hebat dengan masing-masing saling berkejaran mata begitu rapat.

Turtles akhirnya memecahkan kebuntuan pada 13-13 malah mendapat suntikan semangat dan keyakinan baharu ekoran kemasukan tekong gantian, Irsyad Faiz Aziz yang berpengalaman bermain Liga Thailand, bagi mendapatkan mata mudah menerusi servis dan menamatkan perlawanan dengan cepat.

Kata pengurus pasukan Turtles, Shafei Sulong, “kami mahu tetap mencuba Izurin walaupun dia berjauhan dengan kem latihan kami kerana dia masih dengan skuad negara. Keserasian lontaran bola apit kiri Azwan tampak lebih menyebelahi Irsyad dan regu kami menjadi lebih yakin setelah servis Izurin kurang menjadi.

“Adangan apit kanan Melaka (yang masuk set kedua yang sesekali menghampakan rejaman Fadzli) turut bagus dan libasannya tidak pernah membuang peluang dan mata. Ada keputusan pengadil yang memberhentikan perlawanan kerana mulanya menganggap bola terkena tangan pemain Melaka tetapi kemudian memberikan mata kepada lawan.

“Biarpun mendahului kedudukan mata, saya rasa perjalanan kami masih jauh sehingga 19 Disember,” katanya yang mungkin menimbangkan untuk menyenaraikan apit kanan baharu selepas kecederaan kaki pelibas utama, Hanafiah Dolah tampak memerlukan tempoh pemulihan yang lebih panjang.

Kata pengurus pasukan Titans, Ghazali Bidin, “semua orang tahu kami bukan pilihan. Apabila kami berjaya menyaingi lawan, sudah cukup membanggakan kami. Kami memasukkan Amirul Asyraf kerana keserasian dan semangat juangnya yang tidak mudah padam seperti ‘kuda perang’.

“Kami tidak fikir kemasukan tekong baharu Terengganu mengubah rentak permainan kerana Khobil pun lebih kerap bertemu dengan Irsyad dan kami rasa, Izurin sebenarnya lebih bagus,” katanya yang berpendapat bahawa Khobil mampu pulih daripada kecederaan kaki kanannya menjelang minggu ketiga saingan STL, minggu depan.

KEPUTUSAN SEMALAM – Terengganu Turtles kalahkan Melaka Titans 2-1 (22-20, 17-21, 21-17) Kuala Lumpur Thunder kalahkan Kelantan Warriors 2-0 (21-13, 21-19)

* Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor - STL