TSG Raih Podium Pertama Jelajah Malaysia 2016


Terengganu Cycling Team (TSG), akhirnya menjejakkan kaki ke podium dalam saingan Jelajah Malaysia 2016, apabila pelumbanya, Hariff Salleh, mengungguli peringkat ketiga perlumbaan.

Peringkat ketiga perlumbaan menyaksikan pelumba dilepaskan di Dataran Kesedar Putra, Gua Musang, menuju ke Pasir Putih, membabitkan jarak sejauh 169.1km.

Ia menawakan tiga zon pendakian, masing-masing di Gua Musang, Chiku dan juga Paloh.

Disusuli tiga kawasan pecutan di Kg Lata Rek, Bukit Sireh, serta Banggol Telipot, dengan TSG mensasarkan Hariff, mampu untuk mencuri mata bagi perebutan jersi biru.

Selepas tamat tiga kawasan pendakian, pelumba kembali di dalam kelompok besar dengan hanya berbaki 60 km perlumbaan, dan beberapa pelumba dilihat mencuba untuk melakukan pecahan.

Strategi TSG untuk mengekori pasukan dari Iran, Pishgaman Giant, membuahkan hasil apabila mereka berjaya menempatkan Harrif di bahagian depan.

Pendahulu bagaimanapun, berjaya dikejar Peloton dengan berbaki satu kilometer perlumbaan, tetapi Harrif lebih cemerlang apabila melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan empat jam 49 saat.

Park Sung Baek dari pasukan KSPO di kedudukan kedua diikuti wakil negara, Irwandie Lakasek daripada pasukan MSN-Mycron melengkapkan kedudukan podium.

Lebih manis buat Hariff, kejayaan itu turut menyaksikan dia menyandang jersi biru untuk pungutan mata bagi raja pecut.

"Saya menyaksikan perlumbaan hari ini agak sukar juga buat saya kerana hari ini kami melalui laluan yang berbukit dan bukit-bukit tersebut juga tinggi.

"Alhamdulillah saya berjaya melaksanakan kata-kata saya iaitu untuk menyarung jersi biru dan menaiki podium," jelas Hariff.