Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain, mengesahkan pasukan itu tidak akan menyambung kontrak tonggak importnya dari Mali, Makan Konate, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.
“Ini bukan satu keputusan yang mudah untuk dilakukan namun kami terpaksa menerima hakikat bahawa jodoh antara T-Team dan Konate tidak panjang.
“Pihak pengurusan agak keberatan untuk membuat kata putus memandangkan Konate adalah arkitek kejayaan pasukan ini sepanjang musim 2016 sehingga layak ke separuh akhir Piala Malaysia.
“Namun, satu keputusan harus dibuat untuk melancarkan tugas ketua jurulatih (Rahmad Darmawan) dan kami bersetuju dalam mesyuarat mingguan semalam, untuk tidak menyambung kontraknya,” ujar Mohd Syahrizan.
Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian lutut malah dua ujian Pencitraan Resonasi Magnetik (MRI) yang dilakukan di negeri ini dan di Indonesia mengesahkan status kecederaannya yang memerlukan pembedahan.
“Kami tidak mahu mengambil risiko kerana pemain itu mengalami kecederaan yang serius.
“Ketua jurulatih akan menentukan pengganti bagi kekosongan di posisi itu serta ketiadaan penyerang, Patrick dos Santos Cruz, yang turut tidak disambung kontraknya.
“T-Team telah memutuskan untuk hanya mengekalkan khidmat pemain tengah dari Uzbekistan, Dilshod Sherofetdinov dan pemain pertahanan, Abdoulaye Youssof Maiga,” tambahnya lagi. - SA