Irfan Bakti Punyai Alasan Sendiri Pilih Lutfulla Turaev



Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui dia ada alasan tersendiri membawa masuk bekas pemain importnya dari Felda United, Lutfulla Turaev, ke Terengganu.

Antara sebabnya ialah Turaev disifatkan antara pemain tengah bertahan terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

“Kerana dia seorang pemain tengah yang memiliki hantaran dan penguasaan baik di bahagian tengah, jadi saya memilih dia untuk menjadi perancang tengah Terengganu,” tambahnya.

Sementara itu, Irfan menyifatkan peluang sama rata buat kesemua pasukan yang mahu merebut kejuaraan Liga Perdana yang akan membuka tirai 20 Januari ini.

Terengganu jelas berada dalam kelas tersendiri untuk saingan Liga Perdana apabila berjaya memikat ramai tonggak tempatan berpengalaman, antaranya Abdul Latiff Suhaimi, Shukor Jusoh dan Firdaus Faudzi.

Selain mengekalkan khidmat Issey Farran Nakajima, Terengganu juga membawa masuk penyerang dari Argentina, Federico Falcone.
“Kami sedang mencari kombinasi terbaik, terutamanya bersama Falcone.

“Sebenarnya, dia tidak berapa mahu bermain tetapi saya memaksanya untuk cuba menyesuaikan diri,” ujar Irfan. - Arena