Saya Lama Tak Kalah Sebesar Ini - Irfan Bakti


Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, tidak menyembunyikan perasaan berangnya terhadap persembahan buruk anak buahnya selepas longlai diratah UiTM FC 4-0 ketika berkunjung ke Stadium UiTM Shah Alam, dalam aksi Liga Perdana, semalam.

Terengganu dilihat tiada masalah untuk mencuri mata ketika bertandang ke Shah Alam, apatah lagi turun dengan reputasi pasukan di tangga kedua liga di belakang Negeri Sembilan manakala UiTM di tangga kelima.

Namun, mereka dimalukan UiTM yang meledak empat jaringan sehingga mengundang kemarahan Irfan.

"Saya dah lama tak mengalami kekalahan besar seperti ini.

"Saya tidak pernah kalah kepada UiTM.

"Bukan seorang dua pemain saya yang beraksi teruk, secara dasarnya keseluruhan pasukan bermain di bawah tahap sebenar," ujarnya.

Jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail, pula tersenyum lebar apabila anak buahnya mendekati impian berada dalam kelompok lima terbaik untuk meraih slot Piala Malaysia 2017.

Wan Mustaffa berharap pemainnya mampu mengekalkan persembahan konsisten kerana masih banyak perlawanan yang perlu ditempuhi.

"Kami adalah pasukan bawahan dan akan menghadapi perlawanan secara satu demi satu.

"Jadi, saya tidak mahu anak buah saya leka dalam perlawanan seterusnya," katanya. - Arena