Makan Konate Bakal Kembali Sertai T-Team FC?


Kuala Terengganu : Pasukan berstatus kelab, T-Team, kini dalam usaha mendapatkan bekas bintangnya, Makan Konate, untuk memperkuatkan pasukan itu dalam jendela perpindahan pemain ketika ini.

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, mengesahkan mereka sedang mengadakan rundingan sambil melihat kemungkinan pemain berusia 26 tahun itu sudah pulih daripada kecederaannya.

“Kami akan mengemukakan tawaran bersesuaian kepada ejen Konate dan sekiranya persetujuan dicapai, tiada masalah untuk pemain itu kembali ke Kuala Terengganu.

“Namun, Konate masih perlu menjalani sesi pemilihan bagi memastikan dia benar-benar cergas sepenuhnya,” ujar Azhari.

Dijangka hadir awal bulan depan, bekas pemain Persib Bandung dalam Liga Indonesia itu juga menjalani latihan pemulihan bersama pegawai perubatan T-Team sejak awal musim ini lagi.

Pemain berasal dari Mali itu merupakan watak penting kejayaan The Titans musim lalu tetapi kelibatnya diketepikan untuk saingan 2017 gara-gara kecederaan serius di bahagian lutut.

Perkhabaran itu pasti menimbulkan rasa gelisah awang import yang bakal digugurkan, terutama pemain tengah, Dilshod Sherofetdinov, Mamadou Samassa dan penyerang, Farhod Tadjiyev.

Kedudukan pemain pertahanan, Abdoulaye Maiga, dijangka selamat sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim ini.

Menurut Azhari lagi, tiga pemain tempatan, iaitu seorang daripada pasukan Liga Super dan dua daripada pasukan Liga Perdana dijangka memperkuatkan T-Team dan akan tiba hujung bulan ini.

“Kesemua mereka sudah dikenal pasti dan jika semua berjalan lancar, kehadiran tiga tenaga tempatan ini akan menyuntik tonik terbaik kepada kami,” tambahnya. - Arena