Kuala Terengganu : Jaringan penyerang gantian, Seydi L’Imam, memberi kemenangan tipis 1-0 kepada Kelantan ke atas Terengganu dalam aksi persahabatan di Kuala Terengganu, malam tadi.
L’Imam menyempurnakan penalti minit ke-79 selepas Khairul Izuan Rosli dikasari ketua pasukan tuan rumah, Ismail Faruqi Ashari, untuk gol tunggal perlawanan.
Aksi bermula dengan pemain sayap Terengganu, Mohd Ridzuan Abdunloh Pula, dua kali menguji kubu pelawat menyaksikan dua percubaannya pada minit ke-10 dan minit ke-18 gagal menerjah jaring.
Giliran Kelantan mencemaskan kem tuan rumah melalui Indra Putra Mahayuddin (m-19) yang menerima hantaran Mohd Qayyum Marjoni Sabil namun rembatannya tersasar ke sebelah kanan.
Tiga minit kemudian, Abou Bakr Al Mel, berjaya memerangkap penjaga gol Terengganu, Md Suffian Ab Rahman malangnya percubaan penyerang Lubnan itu dikeluarkan Lazaro Vinicious di atas garisan gol.
Babak pertama terus rancak dengan Mohd Qayyum ternyata mengkucar-kacirkan pertahanan Terengganu namun kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat babak pertama.
Terengganu memperkemaskan rentak di separuh masa kedua dan rembatan Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-57 tinggi melepasi pintu gol pelawat yang dikawal Md Ramadhan Ab Hamid.
Kelantan yang tidak banyak mengasak selepas rehat akhirnya mendahului menerusi sepakan penalti L’Imam pada minit ke-79.
Hasrat Terengganu mengubah kedudukan tidak kesampaian dengan dua peluang terbaik rembatan Mohd Ezaidy Mohd Khadar (m-84) dan Mohd Ferris Danial (m-87) tinggi melepasi pintu gol lawan.
Pegendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan perlawanan itu satu persiapan ideal pasukannya terutama memberi peluang kepada semua pemainnya lebih minit beraksi.
Penampilan beberapa pemain simpanan juga menurutnya sangat penting untuk memberi mereka keyakinan terbaik.
“Penyerang baharu, Kipre Tchetche, tidak dapat beraksi kerana pulang ke negaranya atas beberapa urusan dan akan pulang Sabtu ini.
“Aksi ditunjukkan pemain-pemain malam ini (semalam) lebih baik berbanding dua perlawanan persahabatan terdahulu,” kata Irfan.
Bagi pengurus Kelantan, Alfredo Gonzales, meskipun masa mencemburui mereka, dia yakin barisan pemainnya akan beraksi lebih baik sebaik sahaja Liga Super bersambung, 1 Julai ini.
“Kami lebih memberi penekanan dalam organisasi berpasukan. Jadi adalah bagus untuk bertemu pasukan yang baik seperti Terengganu.
“Pemain-pemain akan kembali melapor diri pada 27 Jun dan walaupun sukar, kami akan memberikan yang terbaik untuk penyokong Kelantan,” tambah Gonzales.
Dibawah rangkuman penuh perlawanan semalam melalui rakaman oleh Media 11