Yannick N’Djeng Senjata Baharu T-Team FC


Kuala Terengganu: Penyerang kelahiran Cameroon, Yannick N’Djeng, sah menyarung jersi T-Team untuk baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia, musim ini.

Menurut pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, keputusan saat-saat akhir itu dibuat sebelum hari terakhir jendela perpindahan 11 Jun lalu, dengan Farhod Tadjiyev digugurkan selepas membuat penilaian pasukan sepanjang pusingan pertama liga.

Katanya, kehadiran N’Djeng diharap dapat mempertajamkan barisan serangan dengan satu program latihan khas sedang dijalani pemain itu untuk meningkatkan kecergasan fizikalnya.

“Dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan ini dan situasinya sama seperti kehadiran (Mamadou) Samassa pada awal musim ini.

“Beraksi di negara ini ialah cabaran berbeza buatnya dan saya harap dia segera mendapat rentak kerana masa semakin suntuk,” kata Rahmad.

Tambah ketua jurulatih dari Indonesia itu lagi, N’Djeng memiliki kelebihan menyertai gerakan-gerakan serangan dengan kualiti yang lebih baik berbanding penyerang terdahulu.

“Kami agak bermasalah sering hilang penguasaan ketika menyerang dan N’Djeng menunjukkan keupayaan untuk mengawal bola di dalam kawasan lawan.

“Walaupun dia tidak membuat jaringan, dia mampu menggerakkan pasukan ini dan itu membezakannya dengan empat awang import lain yang disenarai pendek,” tambahnya lagi.

N’Djeng, 27, berpengalaman beraksi untuk kelab Algeria, BSM Bejaia, untuk dua musim pada 2009 sebelum berhijrah ke kelab Tunisia, Esperance.

Tahun 2013 turut menyaksikan pemain itu menyertai kelab terkemuka Switzerland, FC Sion, selama satu musim.

Dalam pada itu, T-Team kini berada di ibu negara untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang ATM, malam ini, dan MISC-MIFA pada Ahad. - Arena