Kuala Lumpur: Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, menyifatkan penyerang Selangor, Rufino Segovia del Burgos, sebagai ancaman mereka menjelang aksi kedua-dua pasukan itu dalam Liga Super di Stadium Selayang, malam ini.
Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, barisan pertahanannya perlu bersedia mengekang pergerakan Segovia sekiranya berhasrat mencuri sebarang mata di gelanggang lawan.
“Kehadirannya (Segovia) pasti menambah sengat jentera serangan mereka. Jadi, pemain-pemain saya tidak boleh leka dan mengelak daripada melakukan kesilapan.
“Malah, Andik (Vermansyah) juga sudah kembali menyertai Selangor dan saya tahu dia seorang pemain yang berkualiti,” ujarnya.
Mengakui sudah memiliki bayangan kesebelasan utama untuk perlawanan itu, Rahmad menaruh harapan pasukannya segera mendapat rentak terbaik, terutama membabitkan lima pemain baharu mereka.
Tambah Rahmad lagi, tumpuan juga akan diberikan kepada saingan Piala Malaysia yang bermula pada Selasa depan, namun tahap kecergasan awang import mereka masih belum pada tahap terbaik.
“Boleh dikatakan saya sedang mempersiapkan dua pasukan kerana kami akan menghadapi jadual yang agak ketat pada bulan Julai.
“Kedudukan T-Team juga masih belum selamat dan pemain-pemain perlu bekerja keras untuk mengutip mata dalam setiap perlawanan,” katanya.
Jika berjaya menewaskan skuad bimbingan P. Maniam itu, T-Team yang kini di tangga kelapan dengan 16 mata berpeluang memintas Selangor yang berada di kedudukan keenam dengan 17 mata. - Arena