DATUK Ong Kim Swee berpuas hati dengan aksi anak didiknya, walaupun mengakui permainan yang dipamerkan tidak begitu menghiburkan.
Skuad Sukan SEA negara berjaya mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Laos 3-1 di Stadium Shah Alam pada Rabu malam.
Klik untuk play video dibawah ini
Menurutnya, selain berjaya mengutip tida mata, pemain dapat menamatkan permainan tanpa menerima kad kuning atau kecederaan.
"Walaupun permainan kali ini tidak begitu rancak seperti sebelum ini, tetapi saya berpuas hati kerana kita berjaya mengutip tiga mata.
"Selain itu, tiada pemain yang cedera atau menerima kad kuning dalam perlawanan ini.
"Ini penting kerana tumpuan kita selepas ini terarah kepada perlawanan separuh akhir kerana ini akan menjadi laluan dan pemain akan menerima lebih cabaran.
"Oleh itu kita akan melakukan persediaan mental dan fizikal selain taktikal yang baik untuk memastikan kita berada di perlawanan akhir nanti," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Kim Swee menambah, tempoh rehat dua hari yang ada ketika ini akan digunakan sebaik mungkin termasuk memperbaiki kesilapan-kesilapan yang ada.
Jelasnya, selain Malaysia, pasukan seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia juga mempunyai peluang untuk menjuarai Sukan SEA kali ini.
Berikutan itu, katanya, pemain Malaysia perlu berjuang habis-habisan bagi memastikan sasaran untuk memiliki emas tercapai.