PASUKAN berstatus kelab T-Team gagal memanfaatkan kelebihan beraksi digelanggang sendiri apabila diaibkan dengan kekalahan 1-5 ketika turun melayan kunjungan Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermula dengan cemerlang apabila berbalas serangan ke gawang masing-masing dan kem tuan rumah hampir membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi Mohd Nor Hakim Hassan, namun rembatannya gagal menemui pintu gol.
Klik untuk play video dibawah ini
Sebaliknya T-Team yang bekerja keras dalam mencari gol akhirnya tertunai apabila pemain gantian, Muhammad Fauzi Abdul Kadar bijak menanduk masuk hantaran silang Muhammad Fakhrurazi Musa pada minit ke-32 untuk jaringan pertama tuan rumah.
Lapan minit berselang, kem pelawat nyaris mengikat kedudukan menerusi percubaan kemas, Marko Simic dari luar kotak penalti namun rambatannya sekadar tersasar sebelum cubaan Felipe De Almeida Souza ditepis keluar Mohd Hafidz Romly pada minit ke-41, sekali gus membawa perlawanan ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua memperlihatkan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan, bagaimanapun kem pelawat akhirnya berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan mudah, Marko Simic pada minit ke-50.
Sepuluh minit berselang, Melaka United terus melebarkan jaringan menerusi gol Muhammad Fauzi Rozlan hasil hantaran lintang G Puaneswaran untuk gol kedua pelawat sebelum G Puaneswaran menjaringkan gol ketiga skuad Sang Kancil pada minit ke-70.
Pelawat yang memperagakan aksi lebih berdisiplin sekali lagi merobek gawang gol tuan rumah menerusi Felipe De Almeida Souza apabila mudah merembat masuk sepakan percuma pada minit ke-73, sekali gus menewaskan Mohd Hafidz Romly untuk jaringan keempat Melaka United.
Dua minit sebelum tamat perlawanan, Melaka United terus meraikan pesta gol apabila Marko Simic menjaringkan gol kelima pelawat hasil hantaran kemas, Felipe De Almeida Souza.
T-Team yang cuba bangkit di penghujung perlawanan untuk merapatkan jurang kedudukan bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila Melaka United terus menggenggam tiga mata berharga di gelanggang lawan. - Sinar Harian