Kuala Terengganu: Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, mahu anak buahnya segera melupakan kekecewaan di pentas Piala Malaysia, sebaliknya terus fokus untuk tiga aksi terakhir saingan Liga Super selepas ini.
T-Team gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas tewas 3-2 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur sabtu lalu.
Walaupun tewas, Rahmad menyifatkan barisan pemainnya sudah berusaha untuk sekurang-kurangnya memberi saingan sengit kepada Pahang untuk terikat 2-2 di awal perlawanan babak kedua.
Misi seterusnya selepas ini sudah pasti saingan Liga Super berdepan tiga perlawanan terakhir untuk memastikan kedudukan selesa yang menyaksikan T-Team kini di tangga kelapan.
"Kami berada dalam kedudukan yang kurang memuaskan, T-Team sedang berusaha bagi memastikan kekal dalam saingan Liga Super," kata Rahmad.
Berhubung isu pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan, yang mungkin berdepan tindakan kerana tidak hadir ke sesi latihan sejak 5 Ogos lalu, Rahmad menyerahkan keputusan kepada pihak pengurusan.
Tidak pasti apa alasan pemain berusia 26 tahun itu yang menghilangkan diri, Rahmad mengakui kecewa dan ia tidak sepatutnya berlaku tanpa sebab.
"Pembantu jurulatih sering berhubung dengannya. Semua pemain mengetahui venue latihan dan memiliki tanggungjawab yang telah diberikan," katanya. - Arena