Puas Hati Terengganu Kembali Ke Liga Super - Datuk Rozi Mamat


WALAUPUN gagal menjuarai Liga Perdana musim ini tetapi kejayaan melayakkan diri ke saingan Liga Super musim depan sudah mencapai sasaran pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, KPI (Indeks Prestasi Utama) pasukan seperti yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu kembali ke saingan Liga Super musim depan sudah tercapai.

“Siapa yang tidak mahu menjadi juara liga, tapi apakan daya kami hanya mampu menghuni tangga kedua dan itu sudah memadai kerana mereka sudah mencapai matlamat dan misi utama untuk kembali beraksi di Liga Super sudah dicapai,” kata Rozi.

Bagaimanapun beliau berkata, jika Terengganu berjaya menjulang trofi liga itu ia lebih bermakna lebih-lebih lagi dalam 10 tahun ini Terengganu gagal mencatat sebarang kejuaraan.

“Jika ikutkan memang kerajaan tidak puas hati kerana gagal dapatkan kejuaraan liga, tapi mereka sudah mencapai KPI yang ditetapkan, jadi tiada masalah, cuma kami harus berusaha untuk meletakkan Terengganu kembali gah sebagai kuasa bola sepak yang disegani seperti satu masa dulu,” katanya.

Pada aksi terakhir liga Jumaat lalu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu terpaksa akur sebagai naib juara selepas tumpas 1-3 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Dalam pada itu Rozi berkata, kerajaan negeri gembira selepas T-Team berjaya mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan.

“Tahniah kepada T-Team yang berjaya kekal dalam saingan liga utama musim depan.

“Tapi saya harap skuad itu perlu lebih baik lagi musim depan dan pada masa sama kerajaan negeri akan berbincang dengan persatuan bola sepak negeri berkaitan kaedah terbaik untuk penjenamaan semula pasukan Terengganu dan T-Team,” katanya.

Dalam aksi mendebarkan malam tadi, skuad kendalian Rahmad Darmawan itu berjaya mengikat Sarawak 0-0 untuk menduduki tangga kesembilan liga dengan mengutip 23 mata. - Harian Metro