Tunggu Keputusan Mesyuarat PBSNT Malam Ini - Irfan Bakti


Kuala Terengganu: “Tunggu keputusan mesyuarat pengurusan PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) malam esok (ini),” kata ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan kontraknya bersama skuad Penyu musim depan sama ada akan disambung atau sebaliknya.

Bekas jurulatih FELDA United itu mengikat kontrak selama setahun bersama skuad Peteh Terengganu Peteh dan kontraknya bakal berakhir pada 30 November.

Terdahulu, sentuhan magis jurulatih berusia 66 tahun itu berjaya melonjakkan kembali skuad Terengganu untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan hanya dalam masa semusim selepas tersingkir ke Liga Perdana tahun ini.

“Mungkin selepas mesyuarat pengurusan secara tertutup itu, kita akan tahu keputusannya.

“Saya harap peminat setia skuad Terengganu bersabar sambil saya juga mendoakan mesyuarat PBSNT berjalan lancar,” kata Irfan Bakti yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura di Liga Indonesia.

Pada 26 September iaitu ketika meraikan kejayaan pasukannya melangkah ke saingan Liga Super musim depan, Irfan Bakti memaklumkan bahawa beliau belum membuat keputusan muktamad sama ada akan terus kekal bersama skuad Penyu musim depan ataupun membimbing pasukan lain.

Pengumuman Irfan Bakti yang disifatkan sebagai pencetus kembali kebangkitan skuad Terengganu jelas membimbangkan peminat setia sekiranya jurulatih yang suka merantau itu melatih pasukan lain lebih-lebih lagi beliau pernah membimbing skuad Penyu muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia pada 2011. - Harian Metro