Belum Ada Calon Pengarah Teknikal


PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) belum memutuskan individu mana yang akan dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan dan Teknikal untuk pasukan bola sepak di negeri itu.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Faruk Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, konsep penstrukturan yang dicadangkan itu sememangnya mengambilkira skop dan tugas jawatan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyelesaikan beberapa isu teknikal selepas melakukan penggabungan pasukan Terengganu dan T-Team.

“Dalam kertas kerja penstrukturan semula ini memang ada dicadangkan untuk jawatan Pengarah Kejurulatihan dan Teknikal.

“Namun, setakat ini PBSNT belum membincangkan secara khusus pengisian jawatan ini sementara menyelesaikan isu-isu teknikal dalam penggabungan pasukan di bawah satu pentadbiran serta pembentukan pasukan bagi TFC I, TFC II, TFC III dan TFC IV,” katanya.

Semalam, Kerajaan negeri memberi ‘lampu hijau’ kepada PBSNT untuk melantik Pengarah Teknikal berwibawa jika itu membawa kebaikan buat pasukan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, pihaknya menyerahkan kepada PBSNT untuk membuat keputusan dan kerajaan negeri menyokong apa saja demi kebaikan.

Tengku Faruk Hussin berkata, pihaknya juga sudah menyelesaikan isu pelantikan ketua jurulatih TFC II (Liga Perdana), TFC III (Piala Presiden) dan TFC IV (Piala Belia).

“Boleh dikatakan urusan pelantikan barisan kejurulatihan pasukan sudah selesai dan semua berjalan lancar,” katanya. - Berita Harian