Issey Nakajima-Farran Tunggu Tawaran, Mahu Terus Menetap Di Malaysia


“Saya dah malas nak berpindah ke negara lain. Saya mahu kekal duduk di sini [Malaysia],” kata Issey Nakajima-Farran, bekas pemain Terengganu FA ketika dalam rancangan Scoreboard Extratime di saluran TV9 malam semalam.

Kecintaan beliau terhadap pantai, makanan dan penyokong bola sepak Malaysia sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Meskipun pengetahuan bahasa Melayunya masih tidak memadai untuk menyaingi Mat Dan di Terengganu, Issey (gambar bawah) tetap merasakan Terengganu dan Malaysia adalah ‘rumahnya’.

Issey yang bakal menamatkan kontraknya bersama Terengganu FA pada hujung bulan ini sedang menunggu tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana. Bagaimanapun keutamaan akan diberikan kepada pasukan Liga Super katanya.

“Objektif saya untuk menaikkan Terengganu FA ke Liga Super 2018 sudah tercapai. Jadi saya mahu terus bermain dalam Liga Super kalau boleh,” kata Issey.

Posisi terbaik Issey

Anda namakan apa sahaja – sayap kiri, sayap kanan, no.10 dan penyerang utama.

Sepanjang 2 musim beliau di Terengganu, Issey Nakajima-Farran sudah bermain di pelbagai posisi menyerang ini di bawah kendalian 4 ketua jurulatih – Abdul Rahman Ibrahim, Ahmad Yusof, Mike Mulvey dan Irfan Bakti.

Ketika ditanya oleh Semuanya BOLA mengenai posisi kegemarannya, Issey memberitahu ia bergantung kepada formasi dan taktikal ketua jurulatih.

“Jika pasukan bermain direct, saya suka bermain di posisi sayap kerana kelebihan saya untuk menyerang bek sisi pasukan lawan. Saya boleh menggunakan skil gelecekan dan kelebihan fizikal saya untuk menewaskan mereka dalam situasi 1v1,” jelas pemain kelahiran Kanada itu.

“Tetapi jika pasukan bermain tiki-taka, saya suka bermain di posisi no.10 kerana saya suka membuat larian dari zon 14 ke kotak penalti lawan.”

Masih cergas hasil latihan individu

Ketika pemain-pemain lain sedang merancang percutian selepas mengharungi musim liga bola sepak Malaysia yang panjang, Issey Nakajima-Farran sudah memulakan persiapan untuk memberi tanggapan (impression) yang baik kepada mana-mana pasukan yang berminat kepada khidmatnya pada musim depan.

“Saya masih cergas. Ketika ini saya giat menjalankan latihan-latihan fizikal secara individu di gimnasium sebagai persiapan untuk musim akan datang,” kata pemain berusia 33 tahun ini.

“Dalam bola sepak, pemain seperti saya perlu menjaga dengan rapi aspek-aspek kecil seperti diet dan latihan-latihan individu di gimnasium untuk mendapatkan lebihan 5-10% daripada pemain lawan,” katanya lagi. - Semuanya Bola