KUALA TERENGGANU: T-Team mengesahkan kehilangan ayam tambatannya, Mohd Nor Hakim Hassan yang menyertai pasukan baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemain sayap kelahiran Kuala Terengganu itu memilih untuk tidak menyambung kontraknya yang berakhir bulan ini bersama The Titans.
Sebelum ini, pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim turut mahu mendapatkan khidmat Mohd Nor Hakim bagi memperkuatkan pasukannya musim depan bersama dua lagi tonggak T-Team,
Mohamad Kamal Azizi Zabri (pertahanan) dan Muhammad Fauzi Abdul Kadar (tengah).
Difahamkan, Mohd Nor Hakim yang pernah bermain dengan PKNS FC dan Terengganu itu dikatakan bakal berhijrah ke sebuah pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana musim depan.
Penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim berkata, pihaknya akur dengan keputusan Mohd Nor Hakim untuk tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu.
Katanya, pihaknya tidak tahu hala tuju pemain berusia 26 tahun itu musim depan kerana dia kini bebas membuat keputusan dan pilihan pasukan yang ingin diwakili.
"Apa yang boleh saya beritahu, kontrak Mohd Nor Hakim bersama T-Team sudah berakhir dan pemain itu juga membuat keputusan untuk menyertai pasukan baharu musim depan.
"Sememangnya kami mahu mengekalkan pemain ini namun terpaksa akur dengan keputusannya. Kami tidak pasti pasukan mana yang bakal menjadi pilihannya musim depan," katanya.
Mohd Nor Hakim menjadi tonggak penting The Titans di bawah kendalian ketua jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan yang kekal beraksi di Liga Super musim depan. - Berita Harian