Senarai Pemain Yang Kekal Dan Dilepaskan Terengganu


KUALA TERENGGANU: Terengganu mengekalkan 12 pemain utamanya musim ini untuk menghadapi kancah Liga Super musim depan.

Lima lagi pemain skuad bergelar Peteh Terengganu Peteh itu bakal menyarung jersi skuad 'adik' T-Team yang juga bakal beraksi dalam saingan Liga Super.

Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pemain berkenaan ialah Ismail Faruqi Ashari, Nasrullah Haniff Johan, Mohd Firdaus Faudzi, Adib Aizuddin Abdul Latif dan J Partiban.

Katanya, turut dikekalkan ialah pemain import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre, Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Syazwan Yusof, Azi Shahril Azmi, Mohd Faiz Nasir, Radhi Yusof dan penjaga gol berpengalaman, Suffian Abdul Rahman.

Jurulatih berusia 66 tahun itu berkata, lima pemain yang bakal memperkuatkan skuad The Titans musim depan ialah Abdul Shukur Jusoh, Hafizal Muhamad, Amirul Syahmi Ashari, Mohd Shahrin Sapien dan penjaga gol, Amierul Hakimi Awang.

"Pengekalan pemain berkenaan dinilai berdasarkan prestasi semasa dan persembahan mereka dalam saingan Liga Perdana musim ini.

"Apa yang penting pemain dikekalkan itu mampu membantu skuad Terengganu menghadapi saingan Liga Super musim depan yang pasti lebih mencabar berbanding Liga Perdana," katanya.

Terengganu layak secara automatik dalam saingan liga utama itu selepas muncul naib juara Liga Perdana musim ini di belakang Kuala Lumpur.

Sebelum ini Terengganu menggugurkan tiga pemain import iaitu Issey Nakajima Farran, Lazaro Vinicius, Gabriel Dos Santos dan beberapa tonggak utama termasuk Mohd Ferris Danial, Ezaidy Khadar dan Mohd Ridzuan Abdunloh. - BH