Ya, Malik Arif & Kim Hyeon Woo Sah Milik Terengganu - Irfan Bakti


PEMAIN Korea Selatan, Kim Hyeon Woo dan bekas penyerang Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff menjadi pemain terbaru diikat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Hyeon Woo, 28, adalah bekas penyerang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC musim ini manakala Abdul Malik adalah penjaring tempatan terbanyak Liga Perdana dua musim berturut-turut.

Berita gembira itu dimaklumkan ketua jurulatih skuad Peteh Terengganu Peteh, Irfan Bakti Abu Salim yang sedang membentuk pasukan lebih mantap bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sebelum ini Terengganu sudah menandatangani pemain import kelahiran England, Lee Andrew Tuck dan Tchetche Kipre (Ivory Coast) serta Mohd Fitri Omar (Kedah), Muhamad Fauzi Abdul Kadar (T-Team) dan Wan Mohd Azraei Wan Teh (Pahang) selain sedang berusaha mengikat dua lagi pemain T-Team.

“Iya, pemain dari Korea Selatan dan Kuantan FA itu sudah sah menjadi milik Terengganu,” kata Irfan Bakti menerusi aplikasi Whatsapp ketika masih berada di Makkah bagi mengerjakan umrah.

Sebelum ini, pemain kelahiran Seoul, Korea Selatan itu juga diintai beberapa pasukan lain, namun dia

yang mula mencipta nama dengan kelab Seongnam FC dalam Liga Korea Selatan dan Shan United dalam Liga Myanmar memilih untuk menyarung jersi Terengganu.

Abdul Malik, pemain kelahiran Beserah, Kuantan itu juga ditawarkan kontrak oleh beberapa pasukan lain termasuk negeri kelahirannya Pahang, tapi tawaran lebih menarik membuatkan dia memilih skuad Penyu untuk mengembangkan lagi karier bola sepaknya.

Sebelum beraksi bersama Kuantan FA, pemain berusia 27 tahun itu yang juga boleh beraksi di bahagian sayap pernah menyarung jersi Pahang bermula 2011 hingga 2014.

Kehadiran Hyeon Woo dan Abdul Malik jelas memperlihatkan jurulatih berpengalaman itu mahu memperkemaskan lagi jentera serangan yang sebelum ini sudah diisi dua tenaga import iaitu Andrew Tuck dan Kipre. - Harian metro