Bruno Junichi Suzuki Janji Julang Terengganu FC II


KUALA TERENGGANU: Bekas penyerang import Negeri Sembilan (NS), Bruno Junichi Suzuki menjanjikan persembahan yang lebih baik bersama Terengganu FC II (TFCII) dalam mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

Penyerang yang meledak 12 gol bersama skuad Rusa musim ini menjadi pemain import kedua kelab berkenaan selepas menyambar bekas penyerang UiTM FC, Akanni-Sunday Wasiu sebelum ini.

Penyerang berusia 27 tahun kelahiran Brazil yang memiliki kerakyatan Jepun itu berkata, dia berazam kejayaan beraksi cemerlang bersama NS sebelum ini dapat diteruskan bersama TFC II.

Junichi Suzuki memberi jaminan akan berusaha secepat mungkin untuk menyesuaikan diri dengan lebih cepat bersama rakan sepasukan dan corak permainan baharu di bawah bimbingan ketua jurulatih, Mustaffa Kamal Abd Wahad.

"Saya berjanji akan memberikan aksi yang lebih baik berbanding mewakili pasukan lama dan mahu lebih berjaya pada musim 2018.

"Saya bertekad memastikan TFC II menjadi antara pasukan pencabar dalam saingan Liga Perdana musim depan," katanya selepas mengikat kontrak setahun di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sementara itu, Pengurus TFC II, Jasmira Othman, berkata pasukan kendalian Mustaffa Kamal yang mempertaruhkan 70 peratus pemain muda, bakal menggunakan empat awang import musim depan.

Katanya, pihaknya sudah mengikat Wasiu dan Junichi Suzuki manakala baki dua lagi awang import dijangka tiba ke Terengganu Januari 2018.

"Dua pemain import kelahiran Haiti akan bermain di posisi pertahanan dan tengah. Mereka kini masih bermain dengan kelab masing-masing dan akan melapor diri bersama TFC II Januari 2018.

"Biarpun TFC II ini dijadikan pasukan 'feeder' kepada TFC I, namun kita tetap meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana musim depan," katanya. - Berita Harian