Tercalon Pun Satu Penghormatan - Irfan Bakti


PENGENDALI Terengganu FC I (TFC I) , Irfan Bakti Abu Salim tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk merangkul anugerah jurulatih terbaik pada malam kemuncak Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) di One World First Avenue, esok.

Bagi Irfan, tercalon untuk tiga jurulatih terbaik pada anugerah berprestij itu pun sudah satu penghargaan dalam kerjayanya.

"Sudah tercalon pun saya sangat berbesar hati. Jika saya menang, ia satu bonus buat saya dan pastinya menyuntik moral untuk saya terus membantu pasukan dalam mengharungi musim depan.

"Apa pun, syukur pada ALLAH, ini semua hasil bantuan daripada semua pihak termasuk pembantu dan pemain saya.

"Jadi terima kasih kepada mereka yang selama ini bekerja keras dan membantu saya mendapat pengiktirafan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kategori itu, Irfan akan bersaing dengan dua jurulatih yang tidak kurang hebatnya iaitu B Sathianatan (Felda United) dan Abu Bakar Fadzim (PKNP FC).

Sementara itu, mengulas persiapan Liga Malaysia musim depan, Irfan berharap kesemua 26 pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan cepat selain membuktikan keupayaan merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Barisan pemain perlu berada pada tahap terbaik kerana Liga Super akan buka tirai pada 3 Februari," ujarnya. - Sinar Harian