Terengganu FC Buru Final Piala FA, Tempat Ketiga Teratas Liga Super


SKUAD Terengganu FC memulakan langkah untuk memantapkan pasukan apabila mengikat dua pemain import baharu, Thierry Chantha Bin dan Kim Hyeon Woo bagi mengharungi saingan sengit Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Chantha yang merupakan pemain import Kemboja kelahiran Perancis telah menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersama-sama bekas pemain kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Hyeon Woo dari Korea Selatan.


Beraksi di posisi tengah, kedua-dua pemain berusia 26 dan 28 tahun itu akan menyertai skuad Sang Penyu kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang sebelum ini telah mengekalkan khidmat pemain kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre.

Dalam pada itu, dua lagi pemain import yang disenaraikan adalah bekas pemain import yang sebelum ini mewakili Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck dan pemain kelahiran Serbia, Igor Zonjic.

Menurut Irfan, ke­dua-dua pemain dari Kemboja dan Korea Selatan itu merupakan pemain import bagi kuota Asia dan Asia Tenggara se­perti yang digariskan pengelola Liga M, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

“Pemilihan pemain import itu menepati kriteria diperlukan pasukan dan kehadiran Chantha bersama Hyeon Woo dapat menguatkan lagi bahagian te­ngah dan serangan.

“Pada masa sama, Chantha juga boleh bertindak sebagai seorang pemain pertahanan kerana sebagai bekas ketua pasukan Kemboja, dia bermain di bahagian tengah pertahanan.

“Sekurang-kurangnya pasukan kita sudah seimbang dan lengkap,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Mengulas mengenai pengambilan pemain tempatan, Irfan memberitahu, bahawa pemain tersebut dipilih berdasarkan pres­tasi yang ditunjukkan.

“Pada dasarnya, boleh dikatakan sebanyak 95 peratus pengambilan pemain tempatan telah lengkap dan mereka diambil berdasarkan prestasi ma­sing-masing.

“Saya yakin pasukan ini akan menjadi lebih baik pada tahun depan dan saya mahu mereka berada di tangga tiga teratas dalam Liga Super. Bagi sai­ngan Piala FA, terus terang saya fokus untuk melangkah ke perlawanan akhir,” ujarnya. - KOSMO