Thierry Chantha Bin Teruja Nanti Cabaran Bersama Terengganu FC

Photo: Razzi Harun

Pemain antarabangsa Kemboja Thierry Chantha Bin, disahkan akan mengisi kuota pemain asing daripada ASEAN untuk pasukan Terengganu I bagi menghadapi kempen Liga Malaysia pada musim depan.

Perkara itu disahkan selepas majlis menandatangani kontrak bersama pemain itu oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang diadakan semalam.

Chantha Bin menyertai Terengganu I selepas mengambil keputusan untuk berhijrah daripada kelab lamanya, Krabi FC. Ini menjadikan Chantha Bin sebagai pemain Kemboja pertama yang akan beraksi di kancah Liga Malaysia.

Pasukan Terengganu I yang baru dinaikkan ke saingan Liga Super Malaysia selepas muncul naib juara saingan 100PLUS Liga Premier pada musim lalu, baru sahaja selesai menjalani proses penjenamaan semula yang turut melibatkan pasukan T-Team FC.

Oleh kerana itu, saingan Liga Super 2018 dianggap penting oleh PBSNT dalam memastikan Terengganu I sekurang-kurangnya terus kekal di saingan tertinggi domestik tanah air, bagi memastikan visi dan misi mereka untuk bola sepak Terengganu boleh dicapai.

Untuk itu, ketibaan pemain seperti Chanta Bin dianggap sesuai dengan aspirasi masa depan PBSNT dalam kempen Liga Malaysia 2018. Thierry Chanta Bin turut tidak sabar menanti cabaran yang akan dihadapinya bersama Terengganu I.

Dalam satu temubual bersama Fox Sport, kapten Kemboja berusia 26 tahun ini berkata:

“Saya sangat teruja untuk cabaran yang bakal tiba di negara ini. Saya akan menghadapi cabaran ini dengan mentaliti yang sudah saya miliki iaitu untuk sentiasa bekerja keras.”

“Hanya usaha dan kerja keras tanpa mengira penat lelah akan memastikan pulangan pada kemudian hari.”

“Liga Malaysia adalah liga yang menjanjikan saingan yang penuh cabaran. Saya mahu belajar sebanyak mungkin ketika berada di sini, juga daripada bola sepak Malaysia.”

“Saya sangat gembira untuk berada di sini, dan bersedia untuk merebut tempat bersama pasukan Terengganu I.”

Thierry Chantha Bin adalah seorang pemain tengah dan telah tampil sebanyak 26 kali untuk skuad kebangsaan Kemboja sejak 2014. Sepanjang tempoh itu, Chantha Bin telah menjaringkan 3 gol untuk negaranya.

Dilahirkan di Paris, Perancis, karier bola sepak Chantha Bin bermula di eropah sejak zaman remaja, dan turut pernah tampil bersama skuad kebangsaan Perancis Bawah 17 tahun.

Selain daripada Chantha Bin, Terengganu I turut mengesahkan penyerang dari Korea Selatan, Kim Hyun-woo bakal memperkuatkan barisan skuad penyu bimbingan Irfan Bakti untuk kempen Liga Malaysia pada musim hadapan.

Ini bermakna kuota pemain asing Terengganu I sudah dilengkapkan, selepas sebelum ini turut mengekalkan Kipre Tchetche, membawa masuk pemain Inggeris dari Negeri Sembilan, Lee Tuck dan juga pemain pertahanan Montenegro, Igor Zonjic. - Semuanyabola