Irfan Bakti Yakin Terengganu FC Langkah Kanan


KUALA TERENGGANU: Walaupun pendatang baharu Liga Super, Terengganu FC I (TFC I) melayani kunjungan PKNS FC pada Sabtu ini tanpa kelibat pemain dari Korea Selatan, jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim tetap tenang.

Malah Irfan Bakti yang membantu skuad Penyu itu naib juara Liga Perdana musim lalu tetap optimis barisan pemainnya yang diketuai Tchetche Kipre mampu memperagakan aksi terbaik sebagaimana yang dirancang untuk menewaskan skuad Semut Merah itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Beliau berkata, aura beraksi di hadapan ribuan peminat setia bakal dijadikan pembakar semangat buat pemainnya untuk menundukkan lawan dalam aksi pembukaan itu.

"Perlawanan pertama memang penting untuk memberi suntikan semangat sebelum beraksi dalam perlawanan kedua, jadi saya harapkan pemain beraksi bermati-matian bertemu PKNS FC.

"Dengan sokongan padu daripada PETEH (Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu) serta peminat setia sudah pasti akan dapat membakar semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang.

"Ketiadaan seorang lagi pemain import tidak membimbangkan kami kerana dengan kombinasi pemain sedia ada, saya begitu yakin dapat mengutip mata penuh di laman sendiri," kata Irfan Bakti yang mahukan lebih ramai peminat membanjiri stadium untuk memberikan sokongan.

Sebelum ini TFC I hampir pasti mengikat pemain tengah menyerang kelahiran Korea Selatan, Park Seung-iI untuk menggantikan rakan senegaranya, Kim Hyun Woo yang mengalami kecederaan lutut.

Tetapi selepas seminggu menjalani latihan bersama kem pasukan itu, pemain itu terpaksa diketepikan selepas gagal beraksi dengan baik dan TFC 1 kini masih menunggu pemain baru untuk diserapkan dalam pasukan. - Berita Harian