Terengganu FC Sudah Bersedia Hadapi Negeri Sembilan


KUALA TERENGGANU: Dengan bersandarkan barisan sama ketika menundukkan Selangor tempohari, Terengganu FC (TFC) kini sudah sedia mengecewakan Negeri Sembilan (NS) pula apabila bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, esok.

Malah skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang dibantu Mohamad Nik, Kamaruddin Annuar, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin itu sudah melupakan kekalahan 2-3 dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

"Kekalahan kepada NS musim lalu itu tidak akan memberi sebarang impak kepada pasukan kami kerana barisan pemain sedia ada adalah berbeza sebelumnya.

"Selain itu, strategi dan formasi bakal pemain kami tampilkan pada pertemuan itu nanti juga adalah berbeza selain pemain kini kian bersemangat," kata Mohamad di sini, hari ini.

Pada pusingan pertama saingan Liga Perdana musim lalu, skuad Penyu tewas 2-3 di laman lawannya itu sebelum terikat 2-2 dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang lebih mesra dipanggil `Coach Nik' mengakui anak buahnya kini berada pada tahap prestasi terbaik selain tidak mengalami sebarang masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

"Moral semua pemain kini berada pada tahap tinggi dan sudah bersedia mengharungi perlawanan itu walaupun beraksi di laman lawan. Jelas semangat mereka membuak-buak hasil kejayaan menundukkan Selangor 4-1 sebelum ini.

"Apa yang kami harapkan momentum ini dapat diteruskan. Pemain juga diharap dapat fokus sehingga 90 minit perlawanan bagi memastikan sasaran mengutip tiga mata tercapai sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah," kata Mohamad.

TFC yang kini menghuni di tangga kelima liga dengan mengutip lima mata berpeluang berada di persada liga sekiranya berjaya mencatat kemenangan dalam pertemuan ini. - Berita Harian