(VIDEO) Terengganu FC Catat Kemenangan Pertama Belasah Selangor FA


KUALA TERENGGANU: Pendatang baharu Liga Super, Terengganu FC (TFC) 'mengamuk' di arena sendiri selepas membelasah Selangor 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.



  Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim hampir mendahului pelawat di awal babak permainan, tetapi tolakan Tchetche Kipre pada minit kelima dapat ditepis penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

 Seminit selepas itu, giliran Mohd Faiz Mohd Nasir menguji gawang skuad The Red Giants tetapi rembatannya sedikit tersasar, begitu juga percubaan Abdul Malik Mat Ariff dan Kipre gagal memecah kebuntuan gol.

 Skuad kendalian P Manian yang bagaikan 'terlena' bangkit untuk memburu jaringan tetapi tandukan pemain import Willian Pacheco sedikit melepasi palang gol pada minit ke-18.

  Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-28 menerusi seorang lagi pemain importnya, Rufino Segovia, namun rembatannya dapat ditepis penjaga gol, Mohd Suffian Rahman.

  Usaha berterusan skuad Penyu untuk memburu jaringan pendahuluan akhirnya berhasil apabila pemain kelahiran England, Lee Tuck merembat kencang dari luar kotak penalti untuk jaringan pertama pasukannya pada minit ke-32.

  Bersambung di babak kedua perlawanan, barisan skuad Penyu terus mengasak kubu pelawat dan berhasil meledak jaringan kedua melalui Mohd Shahrul Aizad Zukufli pada minit ke-59.

  Enam minit selepas itu penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre tidak melepaskan peluang keemasan apabila menjaringkan gol ketiga pasukannya hasil hantaran Tuck.

  Pada minit ke-67, Tuck terus menambah derita pelawat apabila meledak jaringan kedua peribadi dan keempat pasukannya melalui tendangan jarak jauh dari kawasan tengah padang.

  Pada minit ke-88 pelawat berjaya mendapat gol saguhati apabila sepakan lencong Mohd Amri Yahyah terus menerjah jaring untuk kedudukan kekal 4-1. - Berita Harian