KUALA LUMPUR: Mana-mana 'kaki' pencetus kekecohan di stadium perlu berhati-hati selepas ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil dengan idea baru untuk mengekang masalah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah mengesahkan badan induk itu sudah mengenalpasti individu tertentu khususnya ketua kumpulan penyokong yang memiliki rekod dalam menggugat ketenteraman awal sebelum ini.
"Ini adalah salah satu langkah yang sudah diambil bagi memastikan bahawa masalah kekecohan di stadium dapat dicegah dan kita sebenarnya ada maklumat mengenai kelompok sebegini.
"Jika perlu, kita akan menyarankan kepada persatuan bolasepak (FA) negeri untuk tindakan selanjutnya dan berkemungkinan kita akan mencadangkan supaya mereka dihalang daripada memasuki stadium pada masa akan datang.
"Apapun, buat masa ini, saya tidak mahu mendedahkan kelompok penyokong daripada negeri mana kerana tiada insiden lagi yang dilaporkan berlaku setakat ini.
"Apapun, memang kita memiliki rekod penyokong yang cenderung mencetuskan kekecohan dan jika berlaku lagi, kita akan dedahkan mereka serta FA juga akan berdepan hukuman denda," katanya ketika ditemui pada Seminar Keselamatan Bola Sepak FAM 2018 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Pada sama sama, Zulkifli juga menjelaskan jawatankuasa itu akan mengadakan lawatan ke setiap stadium di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan terhadap tahap keselamatan di stadium terbabit.
"Jika ada stadium yang masih lagi kekurangan tahap keselamatannya, kita akan memberikan nasihat supaya ia dapat dipertingkatkan bagi meminimumkan masalah sekiranya ada perkara tidak diingini berlaku.
"Ini juga bagi memastikan supaya pengetahuan yang sudah diberikan ketika seminar hari ini dapat dipraktikkan untuk meningkatkan tahap keselamatan di setiap stadium," katanya. - BH