KUALA TERENGGANU: "Saya perlu mandi bunga ni sebab masih belum temui gol," seloroh penyerang Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff menjelang pertemuan Piala FA pusingan ketiga bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.
Bekas pemenang kasut emas kategori pemain tempatan musim lalu itu berkata demikian selepas dia masih buntu meledak jaringan dalam enam perlawanan terdahulu termasuk saingan Piala FA.
Kegagalannya meledak jaringan sekali gus menimbulkan keresahan peminat setia skuad Peteh Terengganu Peteh itu yang mengharapkan bekas penjaring terbanyak Kuantan FA musim lalu itu perlu bekerja keras lagi untuk memburu jaringan.
"Siapa yang tidak mahu meledak jaringan dalam setiap perlawanan apatah lagi penawar seseorang penyerang adalah menghasilkan gol termasuk saya sendiri.
"Tapi sehingga kini saya masih gagal mencetak nama sebagai penyerang walaupun sudah berusaha sedaya upaya untuk melakukannya, namun saya percaya suatu hari nanti tiba masanya buat saya meledak jaringan," kata Abdul Malik.
Tahun lalu pemain berusia 27 tahun itu mencatat nama sebagai pemenang kasut emas selepas meledak 18 jaringan iaitu 15 gol dalam aksi Liga Perdana manakala selebihnya dalam saingan Piala FA.
Bagaimanapun Abdul Malik mengakui dia perlu bekerja lebih keras lagi terutama ketika sesi latihan bagi memastikan hasrat meledak jaringan pertama musim ini tercapai.
"Tiada kaedah lain kecuali saya perlu menggandakan lagi latihan selain perlu tenang depan gol bagi memburu jaringan pertama bertemu skuad The Red Giants nanti," katanya. - Berita Harian