Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, melakukan rombakan di jentera serangan dengan membuat pertukaran melibatkan tiga pemain, iaitu Lee Jun-hyeob, Abdul Malik Mat Ariff dan Shahrul Aizad Zulkifli, yang diturunkan ke Terengganu FC (TFC) II.
Selepas kegagalan mengisi slot suku akhir Piala FA ekoran tewas kepada Selangor dua minggu lalu, satu kata putus dicapai Irfan bersama barisan exco Terengganu FA.
Jun-hyeob gagal menepati kriteria yang dimahukan Irfan sehingga mendorongnya diturunkan ke Terengganu II dengan Bruno Suzuki menggantikan tempatnya di bawah kendalian Irfan.
Dua pemain tempatan, Malik dan Shahrul, yang tidak cergas gara-gara kecederaan, terpaksa akur dengan keputusan Irfan yang menyenaraikan Alif Fitri dalam skuad utamanya.
"Pemain ini akan menguatkan jentera serangan kami.
"Di samping itu, saya perlu menitikberatkan barisan pertahanan yang mudah dibolosi dalam pertemuan tempoh hari," katanya.
Irfan berminat untuk mendapatkan khidmat dua pemain Felda United, iaitu Muhammad Hadin Azman dan Ahmad Syamim Yahya, bagi memperkuatkan lagi jentera serangannya, namun belum ada sebarang perbincangan rasmi dengan kelab Liga Perdana itu.
"Saya cukup berminat dengan khidmat Hadin sekiranya Felda United sudi melepaskannya," katanya. - Arena