KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) melangkah ke pusingan ketiga Piala FA dengan bergaya selepas membelasah pasukan Liga FAM, PJ Rangers FC 4-0 di Stadium Petaling Jaya, hari ini.
Permainan kedua-dua pasukan sedikit terganggu dengan permukaan padang becak akibat hujan sebelum perlawanan yang menyaksikan TFC terpaksa menunggu hingga minit ke-37 untuk membuka tirai jaringan menerusi Lee Tuck.
TFC yang menjadi pasukan tunggal masih belum tewas dalam saingan Liga Super musim ini menjarakkan kedudukan pada minit ke-59, hasil jaringan Igor Zonjic.
Ketika PJ Rangers cuba bangkit untuk memecahkan kebuntuan jaringan, sebaliknya pemain sayap, Shahrul Aizad Zulkifli menambah gol ketiga skuad Penyu pada minit ke-75.
Tidak cukup dengan itu, Kipre Tchetche terus menambah derita tuan rumah ketika perlawanan berbaki enam minit apabila penyerang kelahiran Ivory Coast itu menyudahkan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan bergaya TFC.
Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim jelas lega dengan kemenangan besar diraih skuad Penyu selepas mengakui anak buahnya berdepan kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaik di atas padang becak.
"Pada awalnya pemain saya tampak sukar untuk bermain pada tahap terbaik kerana permukaan padang yang tak berapa baik, tetapi pada separuh masa kedua pemain berjaya memperkemaskan permainan untuk mencatat kemenangan.
"Sukar untuk mempamerkan aksi terbaik di atas padang macam ini, tapi saya gembira pemain mampu sesuaikan diri dengan keadaan.
"Apa yang paling penting kami berjaya meraih kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya," kata Irfan selepas perlawanan.
TFC masih belum tewas sepanjang musim ini termasuk selepas empat perlawanan dalam Liga Super yang menyaksikan mereka kini menghuni tangga kedua di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT). - BH