KUALA TERENGGANU: Bekas arkitek Terengganu FC (TFC), Abdul Shukur Jusoh mengakui tidak berkecil hati apabila pengendali skuad, Irfan Bakti Abu menurunkan pangkatnya beraksi dengan pasukan Terengganu FC II (TFC II) di Liga Perdana.
Malah bekas arkitek skuad kebangsaan dan Harimau Muda A itu percaya, beraksi bersama TFC II juga ada hikmahnya tersendiri selepas dia lebih banyak berada di bangku simpanan ketika bersama TFC.
"Saya tidak "Saya tidak berkecil hati walaupun beraksi bersama TFC II kerana saya tahu setiap jurulatih pasti mempunyai perancangan dan taktikal tersendiri untuk memantapkan pasukan.
"Jadi, saya tetap positif dalam hal ini dan saya anggap mungkin peluang untuk berada dalam kesebelasan utama lebih luas bersama TFC II.
"Sebagai pemain, saya perlu akur dengan perancangan jurulatih dan saya tekad untuk membuktikan corak permainan saya masih bertenaga dalam misi membantu TFC II mewarnai Liga Perdana," kata anak jati Kuala Terengganu itu.
Minggu lalu, bekas anggota skuad kebangsaan bawah 21 dan 23 tahun serta pernah menabur bakti bersama Selangor, ATM dan FELDA United itu 'diturunkan pangkat' bersama pemain tengah kreatif, Ismail Faruqi Ashari serta pemain import Korea Selatan, Lee Jun-Hyeob.
Berikutan itu, TFC menaikkan pangkat tiga pemain TFC II - pemain import kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun, Bruno Suzuki dan dua pemain muda berbakat iaitu Muhammad Aliff Fitri Jefri dan Haidhir Suhaini.
Bagaimanapun hasrat skuad Penyu untuk menyambar dua pemain FELDA United - Muhamad Hadin Azman dan Ahmad Syamim Yahya tidak kesampaian selepas The Fighters itu tidak mahu melepaskan bekas pemain kebangsaan itu. - BH