Piala Malaysia Ning Mandi Peluh Boh - Lee Tuck


KUALA TERENGGANU: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui skuadnya akan 'bermandi peluh' untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia kali ini selepas diundi bersama pasukan kuat dalam Kumpulan A termasuk naib juara Liga Super Perak, naib juara Liga Perdana FELCRA FC dan Kuala Lumpur.

Pemain dari England itu berkata, skuadnya juga akan menempuh laluan berliku untuk mara ke suku akhir jika rakan sepasukan gagal meneruskan aksi konsisten kerana tiga pasukan pencabar itu memiliki reputasi yang bagus dalam kancah liga.

Bagaimanapun pemain tengah berusia 30 itu menyatakan ia hanya ramalan dan pandangan peribadinya kerana apa yang lebih penting perhitungan di tengah padang.

"Itu atas kertas tapi kami akan lakar dan letakkan matlamat untuk menang trofi berprestij itu kali ini walaupun kami tahu ia pasti sukar kerana bertemu dengan pasukan yang bagus dan kuat.

"Bagi memastikan impian pertama untuk layak ke suku akhir tercapai sebelum melangkah ke pusingan seterusnya kami perlu lebih fokus dengan segala kekuatan selain berusaha hingga minit terakhir," ujar Tuck yang berjaya meledak enam gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Mengulas kegagalan skuadnya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan tiga terbaik, Tuck mengakui begitu kecewa kerana peluang pasukannya untuk berada di tempat kedua terbuka luas namun gagal dimanfaatkan rakan sepasukan dengan sebaik mungkin.

"Sepatutnya kami akhiri liga di tangga kedua bukan kelima, ia agak mengecewakan walaupun saya bermain atau tidak kerana TFC masih ada pemain yang berkualiti, tapi sayang pemain gagal bermain dengan 100 peratus dalam pertemuan itu hingga kami tewas 0-2 kepada Selangor.

"Kami harap mampu bangkit dan menebus kehampaan dalam saingan Piala Malaysia kerana secara keseluruhan TFC sudah melakukan yang terbaik sebagai pendatang baharu Liga Super musim ini," kata Tuck. - Berita Harian