KUALA TERENGGANU: Pertahanan tengah skuad Terengganu FC (TFC), Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris menarik nafas lega apabila kecederaan dialami ketika membantu skuadnya mengatasi Perak Sabtu lalu, tidak serius sekali gus boleh beraksi menentang FELCRA FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.
Dalam perlawanan mendebarkan itu, bekas pertahanan kental Harimau Muda itu dikeluarkan pada minit ke-58 apabila mengalami kecederaan kaki selepas meledak jaringan ketiga skuadnya yang menewaskan The Bos Gaurus 4-3 di Stadium Perak.
“Hasil pemeriksaan perubatan saya lega kerana tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki walaupun pada masa itu saya pening kepala dan berharap kecederaan ini akan pulih sepenuhnya menjelang pertemuan penting dengan pasukan FELCRA FC nanti.
“Selain itu jika saya masih diberi peluang dan kepercayaan sekali lagi oleh jurulatih untuk bergandingan dengan pemain import, Igor Zonjic, saya bertekad untuk memperagakan aksi lebih baik untuk meneruskan rentak kemenangan apatah lagi bermain di gelanggang sendiri,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Sepanjang musim ini bekas pemain T-Team musim lalu itu yang berketinggian 1.84 meter lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya dua kali disenaraikan dalam kesebelasan utama saingan Liga Super.
Namun aksi bertenaga dan meyakinkan ketika membantu pasukan menewaskan Kuala Lumpur 5-1 dalam aksi pertama Piala Malaysia peringkat Kumpulan A dua minggu lalu dan terbaharu dengan Perak memberi bayangan posisi itu bakal menjadi milik pemain berasal dari Wakaf Tapai Marang itu. - Berita Harian