Dua tahun meninggalkan Jengka, Pahang, Irfan Bakti Abu Salim akhirnya kembali bertembung dengan bekas majikannya, Felda United, dalam suku akhir Piala Malaysia berbekalkan keyakinan tinggi bersama Terengganu selepas meraih kemenangan bersih 100 peratus di laman lawan di peringkat kumpulan.
Tiadalah istilah janggal bagi Irfan, sebaliknya beliau menumpukan perhatian kepada persiapan terhadap pasukannya sendiri.
"Bagi saya dalam bola sepak ini adalah perkara biasa.
"Kami sering bertembung tetapi ini adalah pertemuan sulung kami dalam pertandingan membabitkan piala.
"Saya anggap ini seperti biasa sahaja kerana ketika ini, saya sedang mengendalikan Terengganu," ujarnya.
Meskipun tumbang 2-3 kepada Kuala Lumpur dalam aksi pelengkap jadual di peringkat kumpulan tempoh hari, situasi itu langsung tidak menggusarkan Irfan.
"Saya rasa tidak, kami tetap juara kumpulan.
"Kempen Piala Malaysia kami pelik sedikit, kami memenangi tiga perlawanan di tempat lawan.
"Ia peningkatan yang baik.
"Harus diingat, apa jua boleh berlaku dalam Piala Malaysia seperti yang dilihat menerusi Sabah dan Kelantan.
"Kelantan, misalnya, mereka turun ke Liga Perdana tahun depan tetapi mereka kini dalam suku akhir.
"Banyak keputusan dramatik dalam Piala Malaysia," ujarnya lagi. - Arena