KUALA LUMPUR: FELDA United dijangka turun dengan skuad tempang bagi mengharungi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.
Ia kerana penjaring terbanyak mereka dalam kempen Piala Malaysia musim ini, Thiago Augusto Fernandes serta dua lagi tonggak utama - Wan Zack Haikal Wan Noor dan Hadin Azman - masih dibelenggu kecederaan.
Jurulatih FELDA, B Sathianathan mengakui pasukannya berdepan tugas sukar bagi aksi menentang skuad Penyu walaupun memiliki sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
“Perlawanan malam ini memang sukar, kami turun tanpa beberapa tonggak yang mana Thiago dan Wan Zack antara penjaring terbanyak pasukan.
“Malah, kami akan jumpa pasukan gergasi Liga Super (TFC) yang berada pada prestasi terbaik selain menjadi antara pasukan yang paling banyak meledak gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
“Jadi kami berdepan tekanan kerana persembahan TFC ketika ini amat baik dan memiliki jurulatih berpengalaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
FELDA mara ke suku akhir Piala Malaysia selaku naib juara Kumpulan B selepas mengumpul 10 mata dalam enam perlawanan.
TFC yang tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur pada aksi terakhir peringkat kumpulan turut mengumpul 10 mata bagaimanapun muncul juara Kumpulan A.
Selain itu, Sathianathan menuntut aksi lebih kebal daripada benteng pertahanan skuad The Fighters bagi menafikan TFC meraih kelebihan gol di tempat lawan.
“Kalau kami bolos satu gol saja pasti akan membawa padah kerana mereka ada kelebihan. Fokus utama kami mengelak daripada dibolosi.
“Kami perlu memberi tumpuan kepada tiga pemain mereka, Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Ashari Samsudin yang menjadi antara penjaring terbanyak mereka dalam Piala Malaysia,” katanya. - Berita Harian - Berita Harian