Lee Tuck Sedar Penyokong Terengganu FC...


Semangat pemain tengah Terengganu, Lee Tuck, kian membara untuk membawa Terengganu ke separuh akhir Piala Malaysia selepas memainkan watak penting untuk pasukannya meraih kemenangan penting ke atas Felda United.

Satu gol dan satu bantuan jaringan, Tuck layak dinobat pemain terbaik dalam pertembungan suku akhir pertama dengan Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Jumaat lalu.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Tuck kini wira utama dalam kalangan penyokong Terengganu bagi memacu perjalanan skuad Peteh dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Selepas merakamkan kemenangan 2-1, dia melaungkan keyakinan bahawa aksi di Kuala Terengganu mampu ditamatkan dalam tempoh 90 minit permainan dengan satu lagi nota kejayaan.

"Felda merupakan pasukan yang lebih hebat bermain di gelanggang sendiri.

"Namun, kami tampil dengan pendekatan sikap yang lebih baik menerusi aksi bersemangat tinggi selain bertahan dengan baik.

"Kami tidak mencipta banyak peluang tetapi apabila peluang terhidang, kami memanfaatkannya.

"Kemenangan ini melonjakkan keyakinan kami, apatah lagi kami sering beraksi cemerlang di laman sendiri.

"Apapun, kami perlu fokus kerana perjuangan kami baru separuh jalan.

"Kami perlu memastikan mengulanginya di tempat sendiri," katanya.

Tuck sedar seluruh penyokong Terengganu amat dahagakan kejayaan Piala Malaysia selepas kali terakhir menjulangnya pada 2001.

"Kami perlu berjuang dari awal semula. Kejayaan lalu sudah menjadi sejarah.

"Kami mempunyai sebuah pasukan mantap dan memiliki keyakinan.

"Kami menjuarai kumpulan dan perlu meneruskan usaha yang telah dilakukan," katanya. - Arena