IPOH - Solat Sunat Dhuha dan bersedekah menjadi amalan para atlet dalam kontinjen Terengganu sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak 2018.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSNT), Ibni Amin Busu berkata, amalan itu diterapkan dalam setiap program pembangunan atlet di negeri itu.
"Menguatkan jasmani semata-mata tidak cukup untuk memenangi pertandingan. Jadi, kami membangunkan program kerohanian untuk membina kekuatan minda dan jiwa atlet.
"Amalan solat dhuha diterapkan setiap hari bagi memupuk keyakinan bahawa kejayaan bukan terhasil daripada usaha kita sendiri sahaja, sebaliknya dari keizinan Allah SWT," katanya.
Bagi atlet bukan muslim, kepercayaan agama masing-masing turut ditekankan dalam latihan.
Selain itu, Ibni Amin menegaskan keperluan membantu orang lain dengan pelaksanaan program derma dikalangan atlet.
"Atlet dengan pengurusan mengumpulkan derma sepanjang kejohanan dan pegawai akan menyalurkannya kepada masjid, sekolah dan badan yang memerlukan sebagai sumbangan kembali atlet kepada masyarakat.
"Ini mengingatkan atlet tentang tanggungjawab, amanah dan harapan yang dipikul sepanjang mewakili negeri dan negara.
"Program ini juga membentuk atlet tidak mementingkan diri disamping keyakinan bahawa Allah SWT akan membantu jika kita membantu orang lain," katanya.
Terengganu mendahului kedudukan teratas pada hari terakhir SUKMA apabila mengumpul 53 emas, 48 perak dan 50 gangsa serta dijangka diraikan pulang dengan status juara keseluruhan.
Kontinjen yang terkenal dalam melahirkan atlet berbasikal antarabangsa itu pernah menjadi juara SUKMA empat kali berturut-turut sejak 2008 sehingga 2012. - Teganukita