PBSNT Serah Laporan 'Bedah Siasat' Kepada FAM


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menghantar laporan hasil ‘bedah siasat’ perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Perak kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, PBSNT akan meneliti rakaman perlawanan kelmarin dan menyiapkan laporan terutama mengenai mutu pengadilan yang mencetus rasa tidak puas hati banyak pihak.

Beliau berkata, PBSNT juga memutuskan tidak membuat bantahan keputusan perlawanan kelmarin sebaliknya akan mengemukakan cadangan kepada FAM supaya isu kelemahan pengadil tidak berulang pada aksi penting musim depan.

"Secara peribadi saya berpendapat, Suresh Jayaraman tidak bersedia untuk mengadili perlawanan malam tadi. Beliau gagal mengawal permainan dan menjadi punca utama berlaku beberapa insiden antara pemain kedua-dua pasukan.

"PBSNT berpendirian, bantahan jika dibuat tidak akan mengubah keputusan. Jadi kita serahkan kepada seluruh penyokong bola sepak menilai mutu dan kualiti Suresh ketika diberi tanggungjawab oleh FAM untuk mengadili perlawanan malam tadi," katanya ketika dihubungi.

Pada perlawanan akhir Piala Malaysia kelmarin, Perak menang 4-1 menewaskan TFC menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 pada masa tambahan.

Hishamuddin yang juga EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, pada aksi yang berlarutan hingga ke masa tambahan dan keputusan perlawanan terpaksa ditentukan melalui penentuan penalti, Suresh dilihat gagal mengawal perlawanan dengan baik apabila banyak keputusan dibuat mencetuskan kemarahan pemain, jurulatih dan penyokong yang membanjiri stadium.

"Mutu bola sepak negara tidak akan meningkat dan sentiasa dipandang rendah oleh penyokong di seluruh negara jika mutu dan kualiti pengadil tidak diberi perhatian oleh FAM.

"PBSNT mencadangkan FAM meneliti dan memperhalusi secara terperinci mereka yang akan diberi tanggungjawab untuk mengadili perlawanan terutama membabitkan perlawanan utama dan penting," katanya.

Beliau berkata, PBSNT juga akan mengemukakan beberapa cadangan lain kepada FAM bagi memudahkan badan induk bola sepak itu melakukan penambahbaikan. - Berita Harian