Pemain Terengganu FC Jadi Rebutan - Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mendedahkan pemain skuadnya bagaikan 'pisang goreng panas' apabila sebahagian besar anak buahnya kini menerima lamaran daripada pasukan lain.

Tawaran itu bukan hanya daripada pasukan Liga Perdana dan Liga Super, malah pemain importnya turut diintai kelab dari luar negara.

"Sebelum ini pasukan lain terutama daripada Liga Malaysia (Liga M) tidak begitu berminat dengan pemain Terengganu, mungkin kerana pemain berkenaan tidak ada nama atau kurang dikenali.

"Namun selepas aksi final Piala Malaysia bertemu Perak baru-baru ini, banyak pasukan kini bagaikan tergila-gilakan pemain Terengganu," ujar Irfan Bakti melalui aplikasi WhatsApp dari luar negara.

Sukan NSTP difahamkan, selain kapten kelahiran Ivory coast, Kipre Tchetche yang kini menjadi buruan pasukan dari utara tanah air, arkitek kelahiran England, Lee Tuck dan Faiz Nasir juga antara pemain yang berada dalam radar pasukan lain dalam saingan Liga M.

Manakala pemain antarabangsa Kemboja, Thierry Chantha Bin yang beraksi cemerlang sejak awal musim dikatakan cuba dipikat kelab dari negaranya dan Thailand.

Bagaimanapun jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun itu tetap tenang sambil mengharapkan pemain berkenaan membuat keputusan bijak dan terus menyarung jersi TFC musim depan.

"Pemain datang dan pergi adalah lumrah dalam sukan bola sepak, sekiranya ada pemain yang sudah tidak berminat lagi bersama Terengganu, saya ada beberapa altenatif lain bagi mengisi kekosongan itu sekiranya berlaku demikian.

"Namun saya harapkan pemain berkenaan akan terus kekal bersama Terengganu dalam mengharungi cabaran yang lebih getir musim depan," kata Irfan Bakti.

Pada aksi final 27 Oktober lalu, sasaran Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk merangkul trofi piala berprestij itu berkecai apabila tumpas 1-4 kepada Perak menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 hingga masa tambahan. - Berita Harian