Tutup Aurat Lagi Bagus - Pemain Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC (TFC) menyambut baik langkah kerajaan negeri mewajibkan pemain di bawah naungan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menutup aurat ketika beraksi di kancah Liga Malaysia (Liga M).

Mereka menyifatkan pelaksanaan itu langsung tidak menjejaskan mutu persembahan di dalam padang dan pada masa sama, mereka terus mempraktikkan nilai murni ajaran Islam yang boleh dijadikan contoh kepada peminat.

Pemain sayap, Abdul Malik Mat Ariff berkata, dia melihat pembaharuan itu daripada sudut positif kerana pelaksanaannya tidak memberi sebarang impak negatif, selain tidak mengganggu corak permainan pemain.

"Secara peribadi saya menyambut baik langkah kerajaan negeri mewajibkan semua pemain memakai pakaian patuh syariah. Ia tidak menjadi masalah kerana arahan itu tidak menjejaskan mutu persembahan.

"Prestasi pemain bukan bergantung kepada pakaian, sebaliknya kesungguhan, usaha berterusan serta bakat yang ada adalah antara penentu kejayaaan," kata Malik yang menyambung kontrak setahun lagi bersama skuad TFC.

Pandangan sama turut disuarakan penjaga gol baharu TFC, Muhammad Ilham Amirullah Razali yang menyifatkan langkah itu tidak menjejaskan mutu atau pencapaian pemain.

"Ia bukan saja tidak mengganggu mutu permainan, tetapi dalam masa sama pemain tidak terus bergelumang dengan dosa," kata Ilham yang kembali ke Terengganu selepas menyarung jersi Negeri Sembilan, musim ini.

Ahad lalu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan, semua pemain bola sepak negeri diwajibkan menutup aurat ketika beraksi di laman sendiri dan lawan mulai musim musim 2019.

Bagaimanapun pelaksanaan pakaian patuh syariah itu hanya terpakai kepada pemain beragama Islam sahaja dan bagi pemain bukan Islam, mereka turut digalakkan mengikut cara pakaian berkenaan. - Berita Harian